Tuesday, December 9, 2008

Sushi

Makanan Jepun yang paling terkenal adalah sushi. Namun ia dikatakan berasal dari China dan diperkenalkan di Jepun pada kurun ke-7. Ketika itu, ikan diperam dengan garam dan beras supaya tahan lama. Sushi menjadi kegemaran ramai kerana ia juga diperbuat daripada beras. Malah ikan peram juga seringkali menjadi bahan isiannya.

Terdapat pelbagai jenis sushi. Jenisnya bergantung pada isinya (bahan sumbat) dan bagaimana ia digulung. Ada yang nori di sebelah dalam, ada yang di luar. Ada juga yang disalut dengan telur udang. Sushi yang paling mahal tentulah yang menggunakan telur ikan yang paling sukar diperolehi.

Sushi ideal untuk yang berdiet (selagi tidak mengandungi terlalu banyak telur atau bahan berkolestrol tinggi). Selalunya, ia sangat rendah lemak dan berkhasiat. Sebanyak 7 hingga 9 keping hanya mempunyai 300-450 kalori. Protein dan lemak asid omega-3 datangnya daripada ikan. Sementara sayur-sayuran adalah sumber vitamin. Nori pula kaya dengan iodin. Manakala karbohidrat kompleks terkandung di dalam nasi.

Untuk pengetahuan anda, nori diperbuat dari seaweed atau rumpai laut. Ia melalui pelbagai proses. Ada jenis roasted untuk menjadikan ia rangup. Baunya agak unik serta berbeza dan tidak begitu menyelerakan bagi sesetengah orang. Namun nori merupakan bahan penting dalam pembuatan sushi.

Bahan perisa yang paling penting ialah kicap cair (juga dijual atas jenama Kikkoman) dan wasabi (horseradish Jepun). Kicap adalah sebagai pencicah. Kadangkala ia dicampur dengan wasabi. Rasa wasabi bukan saja pedas menyengat tetapi ‘kepanasannya’ boleh menjalar sehingga ke telinga. Anda mungkin rasa kurang selesa. Untuk menghilangkan rasa ini, minumlah air biasa banyak-banyak.

Bahan sampingan lain ialah halia jeruk. Ia dipanggil gari. Gari dimakan secara berselangseli dengan setiap kunyahan sushi untuk menyegarkan mulut bagi menikmati rasa yang seterusnya. Halia jeruk yang diwarnakan merah boleh dibeli di dalam botol di mana-mana pasaraya yang menjual barangan Jepun atau Asia.

Ikan mentah dipanggil sashimi. Ikan yang biasa dimakan mentah adalah salmon. Manakala belut yang diasapkan (smoked eel) dipanggil unagi. Rasa unagi sangat sedap kerana ada bau asap. Lagipun isi belut begitu lembut, ia seolah-olah cair di dalam mulut bila dikunyah.

Selalunya, sushi disediakan dengan beras jenis Calrose. Namun begitu, oleh kerana ia sukar didapati, saya menggantikan dengan beras biasa (untuk menanak nasi). Bahan yang memasamkan nasi untuk sushi adalah mirin atau sejenis wain beras.

Oleh kerana mirin mengandungi 14% alkohol, saya cuba menggunakan cuka biasa yang berwarna putih (di dalam botol). Selain daripada itu, saya juga mencampurkan sedikit mayonis supaya nasi berasa lemak dan melekit serta mudah digulung.

Timun Jepun atau timun yang berasal dari Eropah juga dikenali sebagai courgette. Ia lebih rangup dan hijau daripada timun biasa di negara kita. Ia juga kurang berair dan tidak akan merosakkan rasa sushi. Namun begitu, sekiranya sukar didapati, anda masih boleh gunakan timun biasa.

Selain ketam dinginbeku dan telur dadar yang dipotong memanjang, anda boleh gunakan isi salmon yang disalai dan hotdog. Pastikan hotdog dimasak terlebih dulu. Sekiranya mahu menggunakan seekor udang rebus, boleh diletakkan di atas sushi dan tidak perlu digulung seperti biasa.

Telur yang dibuat scramble juga boleh digunakan. Malah ada banyak variasi bahan bergantung pada kesukaan dan kreativiti masing-masing. Ada juga yang menggunakan serunding sebagai bahan isian sushi. Nampaknya kita telah mengubah selera sajian popular orang-orang Jepun ini!

Untuk menyimpan sushi yang sudah siap, bungkus dengan plastik nipis (cling film). Kemudian bungkus pula dengan aluminium foil. Selepas itu, simpan di dalam bekas kedap udara dan letak di atas rak peti sejuk. Bila hendak dimakan, baru dikeluarkan dan dibiar pada suhu bilik selama 1 jam sebelum dipotong. Sushi sesuai dibawa sebagai bekalan ke sekolah atau berkelah.

Nori pula mesti disimpan di dalam bekas kedap udara selepas bungkusannya dibuka. Semasa membeli nori, pastikan saiznya besar. Ada jenis yang telah siap dipotong dan tidak sesuai untuk resepi di bawah ini. Nori mudah menyerap kelembapan dari udara. Ia akan menjadi lembik dan tidak rangup lagi.

Modal membuat sushi sendiri tidak mahal. Anda harus mempunyai pelapik buluh bagi memudahkan anda menggulung sushi. Namun, jika tiada, ia tidak menimbulkan masalah besar. Anda masih boleh menggulungnya dengan kemas sekiranya berhati-hati. Jika selalu membuat sushi di rumah, anda pasti akan menjadi mahir!

SUSHI
185 gm beras

430 ml air

1 camb cuka

1 camt gula

Garam secukupnya

1 camt mayonis

½ biji timun Jepun

2 biji telur – dibuat dadar

2-3 batang ketam (crabsticks) – dibelah 2 memanjang

4 keping nori


Cara membuatnya

1. Bersihkan beras kemudian tuskan.

2. Jerang dengan air, cuka, gula dan garam.

3. Bila kering airnya, tutup sebentar.

4. Gaul nasi suam dengan mayonis dan biar sejuk.

5. Ratakan sedikit nasi di atas nori.

6. Susun timun dan telur kemudian gulung kemas.

7. Buat pula berisi telur dan ketam. Ulang hingga habis.

8. Potong dan sajikan.

Monday, December 1, 2008

Jangan terpedaya...

Lambakan pelbagai jenis gula-gula jeli dan getah pelbagai warna serta bentuk yang diimport mencetuskan keresahan pengguna Islam berikutan 80% dihasilkan daripada gelatin babi. Gula-gula terbabit yang dijual berleluasa di kedai runcit dan pusat beli-belah dikesan tidak mempunyai logo halal, termasuk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dakwaan mengaitkan gula-gula terbabit dengan penggunaan gelatin daripada kulit atau tulang babi diperkuatkan lagi apabila pengedar atau pengilang sengaja tidak menyenaraikan kandungan bahan gelatin digunakan pada bungkusan. Seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), yakin produk terbabit yang dipasarkan tanpa logo halal dikhuatiri mengandungi gelatin tetapi dibungkus dengan pembalut yang tidak menyatakan kandungan sebenar bagi mengelirukan umat Islam.

'Ada kemungkinan pengusaha makanan ringan asing dan tempatan berpakat merahsiakan kandungan tepat ramuan gelatin yang digunakan kerana tidak mahu produk mereka dipulau pengguna Islam.

Mengulas hal itu, Pengurus Pemasaran Kumpulan Halagel (M) Sdn Bhd, Muhammad Azhar Abdullah, berkata kebimbangan orang ramai terhadap gula-gula diperbuat daripada gelatin babi berasas berikutan sumber gelatin babi (porcine) lebih murah dan menjadi pilihan utama pengilang gula-gula di luar negara, terutama di China.

Menurutnya, gelatin digunakan sebagai ejen penstabil, penebal, pembuih, pelekat dan pengikat. Malah, boleh dikatakan tanpa penggunaan bahan ini, sesetengah produk tidak mungkin dapat dihasilkan.

'Melalui pengalaman lebih 10 tahun, kebanyakan jenis gelatin yang digunakan pengusaha makanan ringan di luar negara diperbuat daripada najis mughallazah seperti tulang dan lemak babi atau lemak lembu yang tidak disembelih mengikut syariat Islam.

'Hanya segelintir pengilang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan gelatin bovine (lembu, kerbau atau kambing) selain gelatin tumbuh-tumbuhan (pectin) untuk dijadikan bahan asas gula-gula. Tidak semua gelatin bovine benar-benar halal berikutan sumber ternakan seperti lembu atau kambing digunakan dibimbangi tidak disembelih mengikut hukum syarak.

'Melalui lawatan ke kilang menghasilkan gelatin di China sebelum ini, 70 hingga 80 peratus syarikat di sana mengeluarkan gelatin porcine. Malah ada syarikat yang menghasilkan gelatin porcine dan bovine dalam kilang sama.

'Keadaan ini menyebabkan syarikat kami mengimport gelatin halal dari Pakistan yang lebih diyakini berikutan sumber binatang halal disembelih,' katanya yang amat meragui gula-gula getah dari China kerana kebanyakan pengilangnya mendapatkan sumber daripada pengusaha gelatin tempatan.

Mengikut maklumat, gelatin blok berwarna putih jernih adalah dihasilkan daripada sumber babi manakala gelatin berwarna kuning dihasilkan daripada lembu atau kambing. Masalah berhubung produk yang haram dimakan dapat diatasi jika masyarakat lebih peka dan hanya memilih produk yang mempunyai logo halal Jakim.


Thursday, November 27, 2008

Kuey Teow

KUEY TEOW

350 gm tepung gandum
150 gm tepung beras
1 biji putih telur
200 ml air
garam, tepung ubi, minyak secukupnya

1) Satukan kedua2 jenis tepung, putih telur dan air, uli manjadi doh. Kemudian jerang air hingga mendidih, masukkan sedikit minyak masak.
2) Ambil sedikit adunan, canai leper sedikit. Masukkan ke dalam mesin pasta/mi pada no1 dan putar. Putar adunan sehingga tepung nampak rata dan tukar tahap nipisnya.
3) Setelah nipis taburkan tepung ubi ke atas adunan supaya tidak melekat. Ulangi membuat.
4) Setelah semua adunan nipis, masukkan ke dalam pemotong mesin pasta yang bergigi besar (untuk kuey teow).
5) Setelah air mendidih, rebus kuey teow (jangan terlalu banyak). Bila timbul, angkat dan toskan. Letak dalam dulang, tuangkan minyak dan gaul ketika masih panas.

:: sumber myresepi.com ::


Sunday, November 9, 2008

Pertandingan Kek Coklat

CHOCOLATE CAKE COMPETITION

Jangan lepaskan peluang menyaksikan 13 hotel bertaraf lima bintang berentap dalam menentukan kek coklat siapakah yg paling enak, menarik & layak mendapat gelaran juara? Inilah pertandingan eksklusif yg diadakan buat kali kedua...

Selain melihat pelbagai kek yg dipamerkan, ada jualan untuk tujuan amal. Dan antara artis yg akan menjayakan sesi ini adalah Emran & Erra, Rashidi & Vanida, Mawi & Ekin, Jacklyn Victor, Bill Keith, Noryn Aziz, Tony Eusoff, Jehan Miskin, Nora Danish & Fazura.

Tempat : Great Eastern Mall, Jln Ampang
Masa : Jam 3.00-5.00 ptg
Tarikh : Sabtu, 22 November 2008

:: Saya dilantik sebagai Ketua Juri dan akan menghakimi pertandingan ini bersama beberapa orang artis serta wartawan akhbar tempatan ::

Saturday, November 8, 2008

Mi Goreng

Sajian ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Selain popular sebagai bekalan ke sekolah atau tempat kerja, ia juga mudah dan tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Ada pelbagai jenis mee goreng. Contohnya, Mee Goreng Mamak, Mee Hokkien, Mee Goreng Basah dan sebagainya. Mee Goreng tidak akan lengkap tanpa udang sebagaimana Kuay Teow Goreng tidak akan sempurna tanpa kerang. Pilih udang yang segar supaya kemanisannya membuat mee lebih sedap. Untuk mengembalikan kesegaran udang, kupas kulit, basuh bersih dan sejatkan. Kemudian gaul dengan sedikit gula dan simpan dalam bekas bertutup yang diletak di dalam peti sejuk rak bawah. Selain udang, anda ada pilihan samada untuk memasukkan kek ikan atau bebola ikan. Hiris nipis-nipis dan masukkan bersama batang sawi. Gaul sebati supaya ia masak sempurna. Jangan campurkan pada saat akhir menggoreng kerana bebola ikan yang tidak cukup masak boleh menyebabkan keracunan makanan. Sawi hendaklah diasingkan batang dan daunnya. Ketuk bahagian batang dengan hujung pisau supaya ia mudah empuk.

Semasa menumis, pastikan api sederhana supaya udang dan semua bahan lain boleh masak elok. Setelah memasukkan mee, barulah kuatkan api dan kacau secepat mungkin. Ini penting supaya mee masak dengan cepat dan taugeh tidak terlalu masak.
Taugeh mudah berair jadi tidak perlu memasukkannya awal-awal. Lagipun, taugeh yang separuh masak akan memberikan kerangupan pada Mee Goreng. Taugeh juga memberikan kelembapan kepada mee. Pastikan ia segar kerana taugeh yang layu merosakkan rasa mee goreng. Taugeh yang terlebih masak akan menjadikan mee goreng terlebih ‘basah’. Jangan lupa buangkan ekor dan baki kulit kacang hijau. Ini penting supaya hidangan nampak cantik dan menyelerakan.

Jika anda tidak mahu menggunakan mee kuning yang segar, boleh gunakan mee siput. Kaedah menggoreng dan bahannya sama. Cuma anda perlu menjerang air yang banyak, tambah garam kemudian baru masukkan mee siput. Kacau selalu. Bila mee siput nampak kembang, barulah disejatkan (tos) supaya betul-betul kering.
Tidak perlu mencelur mee untuk digoreng. Memadai membilasnya di bawah air paip dan letak di dalam penyejat.

Pasta (jenis Spaghetti atau Angel Hair) juga boleh digunakan sebagai pengganti mee kuning. Ramai orang telah cuba membuat mee sendiri di rumah.
Caranya adalah dengan mencampurkan air alkali (khas untuk membuat mee, boleh dibeli di kedai ubat Cina atau sinseh), pewarna kuning dan sedikit air ke dalam tepung gandum. Uli menjadi doh dan gunakan penggelek pasta untuk mencanai. Gelek akhir adalah dengan pemotong sekali. Celur dalam air mendidih hingga timbul kemudian angkat, sejatkan dan gaul dengan sedikit minyak. Mee Goreng dan Mihun Goreng tidak akan sempurna tanpa ‘Sos Empat Sekawan’ iaitu sos tomato, sos cili, sos tiram dan kicap. Gunakan kicap manis kerana kicap cair akan membuat mee lebih masin. Jikalau inginkan warna yang lebih gelap, masukkan sedikit kicap pekat atau kicap hitam.

Seandainya anda tidak sukakan udang, gantikan dengan telur. Masa memasukkan telur adalah di akhir waktu menggoreng. Bila taugeh separuh layu, ketepikan semua mee ke tepi kuali. Masukkan telur (2 biji untuk 1 paket mee) di tengah-tengahnya. Pastikan api kuat dan kacau telur hingga separuh masak barulah digaul dengan semua campuran mee tadi. Kemudian terus angkat dan hidangkan. Telur akan masak sempurna dengan kepanasan mee tadi.
Untuk lebih enak, taburkan daun bawang atau daun sup ke atas mee goreng sebelum dihidangkan. Anda juga boleh taburkan bawang goreng supaya mee lebih harum dan rangup.

Sementara itu, hirisan cili merah boleh dicampurkan dengan sedikit cuka dan gula bagi memberikan sedikit rasa masam. Selain itu, cili jeruk juga merupakan bahan sampingan yang sungguh menyelerakan. Bagi yang sukakan lebih pedas, boleh gaulkan sos cili sebelum dimakan.
Mee goreng hendaklah dihidangkan panas-panas supaya lebih sedap. Jika hendak dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro, pastikan bahagian atas mangkuk ditutup dengan plastik khas sebelum dipanaskan. Ini untuk memastikan anda dapat menikmati aroma mee goreng di meja makan (bila anda membuka plastiknya)!

MEE GORENG
60 ml minyak

4 ulas bawang merah } ditumbuk

3 ulas bawang putih }

1 sudu besar pes cili

300 gm udang sedang - buang kulit

200 gm sawi – dipotong 3 cm
1 paket bebola ikan – dibelah 2

500 gm mee kuning
150 gm taugeh - dibuang ekor

Daun bawang, cili merah (hiasan)
Gula secukupnya


Bahan A (campur):

2 sudu kecil kicap manis
1½ sudu besar sos tomato 2½ sudu besar sos tiram 2 sudu besar sos cili

Cara membuat
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk dan pes cili hingga terbit bau.

2. Bubuh bahan A, gula dan udang, kacau rata.

3. Masukkan batang sawi dan bebola ikan, kacau hingga udang separuh masak.
4. Campurkan daun sawi, gaul hingga separuh layu.
5. Akhir sekali, masukkan mee dan taugeh.

6. Bila taugeh hampir layu, angkat. Taburkan daun bawang dan cili merah.


Chicken Pie

Bila berbicara tentang pai, kita akan teringat pada tat. Apakah perbezaannya? Inti pai adalah savuri atau masin dan pedas atau berempah. Inti sedemikian lebih sesuai dipanggil sebagai isian. Ini adalah kerana inti selalu dikaitkan dengan sesuatu yang manis seperti kelapa dengan gula merah atau epal serta buah-buahan lain. Manakala inti tat pula adalah buah-buahan, kelapa, frangipane (badam manis) atau kekacang bermadu dan sebagainya.

Kali ini kita akan menyentuh perihal Pai Ayam. Ada dua perkara penting bila membuat pai. Bahagian kulit dan isiannya. Untuk mendapatkan kulit pai atau pastri yang rangup dan ‘cair di dalam mulut’, teknik menggaul mestilah difahami. Hanya gunakan hujung jari-jemari bila ingin mencampurkan mentega atau marjerin dengan tepung.

Sebelum itu, pastikan tepung gandum diayak. Tambah garam dan kacau rata terlebih dulu. Sebaik-baiknya, gunakan mentega yang masih sejuk. Potong mentega menjadi kiub kecil kemudian gaulkan perlahan-lahan ke dalam tepung. Bila sebati, campuran haruslah kelihatan seperti serbuk roti (elok berderai).

Untuk mendapatkan pastri yang lebih lemak, gunakan mentega. Anda boleh mencampurkan mentega dan marjerin kerana rasanya berbeza. Jikalau dibubuh sedikit lemak sayuran, ia juga akan menjadi lebih rangup daripada biasa.

Di kedai menjual barangan bakeri, anda boleh membeli alat khusus untuk menggaul mentega dengan tepung. Ia ada pemegang dan bahagian keluli berjalur seperti bentuk ‘U’ yang dapat menyatukan kedua-dua bahan dengan mudah.

Gunakan garfu untuk menggaul semasa menuangkan sedikit demi sedikit air ke dalam campuran tepung tadi. Bila doh mulai membentuk, gunakan jari untuk menyatukan semuanya. Uli perlahan dan jangan terlalu lama kerana kehangatan tangan akan mempengaruhi tekstur pastri. Bungkus dengan plastik dan simpan di dalam peti sejuk selama 20 minit. Ini proses merihatkan gluten di dalam tepung. Jika tidak, pastri akan mengecut bila anda mencanainya kelak.
Untuk mencanai, taburkan tepung atas permukaan papan pencanai. Anda juga boleh menggunakan dua lapisan plastik. Jika menggunakan plastik, lebih mudah mengalas tin pai yang besar. Caranya adalah melingkupkan tin pai di atas pastri yang sudah dicanai. Pegang plastik bahagian bawah pastri kemudian terbalikkan cepat-cepat. Tanggalkan plastik dan anda akan dapati pastri menutup dasar tin dengan kemas.

Jangan canai terlalu tebal kerana pastri sukar masak. Pastri yang tidak garing tidak tahan lama. Ia juga kurang rangup. Supaya pai nampak cantik dan sempurna, letak inti atau isian yang banyak. Namun jangan pula terlalu banyak sehingga sukar untuk menutupnya. Isian yang banyak akan mengelak ia dari menjadi kecut setelah masak.

Pastikan tin dilengser dengan marjerin atau dialas dengan foil. Ini untuk mengelakkan pastri melekat. Tekan pastri supaya tiada ruang udara terperangkap di antaranya dan tin. Jika ada, pastri akan menggelembung bila dibakar.

Sentiasa pastikan pastri yang dibubuh inti atau isian dicucuk dengan hujung pisau tajam selepas disapu dengan kuning telur. Ini bagi membolehkan stim keluar ketika dibakar. Selain telur sebagai glis, anda boleh juga menggunakan susu segar. Namun begitu, warna pai yang sudah dibakar tidak akan menjadi perang.

Pastikan bahagian keliling pastri disapu dengan sedikit air sebelum meletakkan lapisan atas sebagai penutup. Tekan dengan hujung garfu supaya ia bercantum kuat. Kemudian gunakan pisau atau gunting untuk membuang reja keliling pai. Susun atas tin pembakar jika membuat pai yang kecil-kecil. Pastikan ia dibakar pada jarak 1/3 dari sebelah atas ketuhar kerana pai memerlukan suhu yang agak panas (bahagian atas).

Lazimnya, Pai Ayam disediakan dengan sos putih. Gunakan mentega dan bukan marjerin untuk membuat sos putih itu. Manakala Pai Daging dicampur sedikit rempah kari. Anda juga boleh menggunakan inti karipap sebagai isian di dalam pai. Terpulanglah pada kreativiti masing-masing. Isian paling mudah tentulah sardin yang dilecek dan ditumis dengan bawang dan lain-lain. Untuk lebih wangi, campurkan hirisan daun bawang dan daun sup.

Supaya kulit pai sentiasa kekal rangup, pastikan juga isiannya tidak cair atau terlalu berair. Kelembapan yang berlebihan akan meresap ke dalam pastri lapisan bawah dan membuat ia ‘kembang’. Pai yang berlebihan boleh disimpan di dalam bekas bertutup dan diletak di dalam peti sejuk. Keluarkan 1 jam sebelum dimakan. Bakar selama 10-15 minit pada suhu 190 C atau panaskan di dalam microwave oven.

PAI AYAM
Bahan pastri
400 g tepung gandum
sedikit garam
100 g marjerin
100 g mentega
60-70 ml air ais
Kuning telur, utk sapu

Bahan Lauk
3 camca besar minyak
3 biji bawang merah } dicincang halus
2 ulas bawang putih }
300 gm dada ayam, dikiub
200 gm ubi kentang, dikiub dan rebus
200 gm cendawan dalam tin, dihiris
60 gm sayuran campur
Garam, serbuk lada hitam secukupnya

Sos putih
30 g mentega
30 g tepung gandum
100 ml susu segar
200 ml air

Cara membuatnya
1. Untuk lauk: Panaskan minyak, tumis bawang hingga terbit bau. Masukkan ayam, kacau hingga masak.
2. Masukkan bahan lain, garam dan serbuk lada hitam. Masak hingga kering kemudian angkat.
3. Cairkan mentega, masukkan tepung dan kacau 1-2 minit. Masukkan susu dan air, kacau hingga pekat. Angkat dan campurkan dengan cendawan tadi. Biar sejuk.
4. Untuk pastri: Gaulramas tepung, garam, marjerin dan mentega. Masukkan sedikit demi sedikit air, uli menjadi doh. Bungkus dan simpan di dalam peti sejuk selama 20 minit.
5. Canai pastri dan terap dengan acuan bulat. Alas tin-tin pai yang kecil. Isikan dengan lauk ayam. Basahkan kelilingnya dan tutup dengan sekeping pastri lagi.
6. Sapu kuning telur kemudian cucuk atasnya dengan hujung pisau. Bakar pada 200 C selama 35-40 minit atau hingga keperangan.

Biskut Berhias

Biskut Badam ini istimewa kerana hiasan di atasnya. Ia nampak saja rumit tetapi sebenarnya agak mudah jikalau anda tahu caranya. Dengan pengetahuan tentang penggunaan coklat cair dan aising royal, anda juga boleh membuat ratusan jenis biskut atau kek topping di masa akan datang.

Supaya biskut ini rangup, perkara paling penting ialah memastikan badam di dalamnya betul-betul masak. Cara memanggang badam di dalam ketuhar adalah dengan meratakan ia di dalam tin pembakar. Pastikan tiada badam yang tertindan. Gunakan api atas dan bawah pada suhu 200 C. Panaskan ketuhar terlebih dulu lebih kurang 10 minit.

Setelah lima minit memasukkan badam, kacau dengan senduk kayu. Ini untuk memastikan seluruh bahagian badam mendapat kepanasan yang sekata. Bakar atau panggang lagi sehingga kulit nipis di luar badam nampak sedikit merekah. Anda juga akan dapat menghidu bau badam yang sungguh wangi itu.

Untuk memudahkan, mungkin anda mahu membuang kulit badam terlebih dulu. Caranya adalah dengan mencelur di dalam air mendidih selama 2-3 minit. Kemudian letak badam di dalam air biasa (paip). Anda boleh mengupas kulitnya dengan mudah.

Dengan badam tanpa kulit, anda juga akan mendapati sangat mudah bila membakarnya. Anda boleh lihat sendiri, ia akan menjadi keperangan. Jika memanggang kacang hazel, ia akan nampak berminyak dan keperangan bila telah cukup masak. Anda juga boleh gunakan kacang jenis lain bagi menggantikan badam di dalam resipi ini.

Kaedah membuat biskut ini tidak memerlukan creaming method. Anda hanya perlu menggaul semua bahan hingga sebati dan menjadi doh. Sekiranya doh agak keras, ini bermakna tidak cukup mentega. Jika suka, anda boleh gunakan separuh mentega dan separuh lagi majerin. Jika majerin digantikan dengan lemak sayuran, biskut akan menjadi lebih rangup.

Bakar biskut hingga benar-benar masak dan keperangan dasarnya. Jika ia kurang ‘garing’, ia akan mudah lemau dan tidak rangup lagi. Biar biskut sejuk di atas redai. Alaskan bawah redai dengan kertas kalis minyak atau foil. Kemudian curahkan perlahan-lahan dengan coklat merah. Baki coklat akan menitis ke atas kertas dan anda boleh gunakan semula. Adalah lebih mudah jika anda gunakan kertas silikon sebagai pengalas.

Sesetengah ketuhar memerlukan suhu 180 C untuk membakar biskut. Manakala kek pula suhu 195-200 C. Jadi, ia bergantung pada jenis ketuhar dan berapa lama anda sudah menggunakannya. Bagi ketuhar berkipas dengan api atas dan bawah, anda perlu turunkan sebanyak 20 C. Jika suhu dalam resipi adalah 180 C, ini bermakna anda perlu gunakan suhu 160 C.

Untuk mencairkan sebarang jenis coklat, hiriskan kecil terlebih dulu. Letak di dalam mangkuk keluli atau tahan panas. Campurkan lemak sayuran. Kemudian letak mangkuk di dalam periuk berisi air mendidih perlahan. Kacau sebati. Teknik ini dinamakan double-boiler. Pastikan tiada air atau wap yang jatuh ke dalam coklat tadi kerana ia akan mengeras.

Bila salutan coklat sudah keras, bolehlah picitkan corak di atasnya dengan menggunakan aising royal. Jika anda membuat dengan sebiji putih telur, memadai dipukul dengan garfu sambil memasukkan gula tadi. Jika membuat banyak, gunakan pemutar elektrik pada tahap minima. Tambah gula sehingga anda mendapat aising yang pekat dan mudah dipicitkan ke atas biskut.

Setelah aising hiasan keras, anda boleh letak di dalam mangkuk kertas dan simpan di dalam bekas kedap udara. Pastikan anda melapik dengan kertas kalis minyak supaya corak kekal cantik dan tidak patah atau rosak. Cuba gunakan coklat warna hijau dengan aising kuning, contohnya, untuk mendapatkan kelainan. Semua terpulang pada kreativiti masing-masing.

Biskut Badam Berhias
300 gm tepung gandum }
2 sudu besar tepung jagung } ayak
70 gm gula aising }
2 sudu besar serbuk badam
140 gm mentega
40 gm lemak sayuran
80-100 gm badam panggang

Bahan hiasan
250 gm coklat merah jambu
2 sudu teh lemak sayuran

Bahan aising
1/2 biji putih telur
90-100 gm gula aising

Cara membuat
1. Satukan bahan ayak dengan serbuk badam.
2. Gaul dengan mentega dan lemak sayuran hingga menjadi doh.
3. Balutkan badam dan susun atas tin pembakar berlengser marjerin.
4. Bakar pada 175 C selama 20-25 minit atau hingga masak.
5. Biar sejuk kemudian letak atas redai. Curahkan coklat merah jambu menyalut seluruh biskut. Biar keras.
6. Hias dengan aising kemudian biar keras sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.
7. Untuk hiasan: Cairkan coklat dan lemak sayuran di atas double-boiler.
8. Untuk aising: Pukul putih telur dengan garfu sambil masukkan sedikit demi sedikit gula. Bila campuran agak pekat, isikan ke dalam beg aising.


Butter Cheesecake

Kek Mentega atau Butter Cake adalah kek paling biasa dan digemari ramai. Pernahkah anda nikmati kek mentega yang berasa keju? Inilah kek paling gebu dan lembut. Anda pasti tidak akan jemu memakannya. Lemak dan harumnya begitu seimbang dan memikat. Ia juga tidak semanis kek yang lazim.

Bahan paling utama adalah mentega. Gunakan mentega bermutu tinggi dan harum baunya supaya kek wangi. Mentega jenis ini mengandungi lemak krim dan tiada campuran lemak sayuran seperti mentega yang lain. Mudah saja mengenalinya. Ia lebih mahal dan senang lembut bila diletak pada suhu bilik.

Sebaik-baiknya, potong sebuku mentega itu menjadi lapan bahagian. Dengan cara ini, ia akan lembut sekata dengan sempurna. Mentega yang tidak dipotong mengambil masa yang lebih panjang untuk menjadi lembut. Jika dapur anda agak panas, bahagian luar mentega mungkin bertukar menjadi cair (berminyak) dan ini boleh merosakkan tekstur kek.

Krim keju juga perlu dibiar pada suhu bilik supaya lembut. Jika tidak, ada bahagian yang tidak boleh sebati bila dipukul. Ketulan-ketulan kecil ini menghalang adunan daripada menjadi gebu sepenuhnya. Hasilnya kek tidak akan menjadi lembut dan ‘cair’ di dalam mulut. Inilah di antara ciri-ciri utama yang perlu diperhatikan setiap kali hendak menggunakan krim keju di dalam sebarang jenis masakan.

Oleh kerana kek yang mengandungi krim keju tidak tahan lebih daripada tiga hari, anda boleh masukkan sedikit bahan pengawet seperti potassium sorbate ke dalam adunan. Ia juga dikenali dengan anti-mould. Sukatan adalah mengikut sukatan berat semua bahan-bahan. Contohnya, jika bahan sebanyak 1 kilogram, gunakan hanya 10 miligram (anggaran secubit) bahan pengawet.

Untuk mengadun kek biasa, anda perlu memukul gula kastor bersama mentega. Namun begitu, untuk kek ini, langkah pertama adalah memastikan krim keju dan mentega gebu terlebih dulu. Ini adalah supaya kedua-dua bahan lemak (fat) ini benar-benar sebati dan memudahkan kek untuk kembang. Kemudian barulah dimasukkan sedikit demi sedikit gula sambil dipukul hingga kembang dan pucat warnanya. Ia kelihatan keputih-putihan dan ringan. Gula juga perlu hancur sepenuhnya. Kuning telur juga perlu dimasukkan sebiji demi sebiji dan dipukul rata setelah setiap kali.

Perlu diingat, semasa mengasingkan kuning dan putih telur, tangan anda hendaklah bersih. Mangkuk tempat meletak putih telur juga tidak boleh mengandungi sebarang kesan minyak. Begitu juga dengan pemutar elektrik (electric mixer). Bilas terlebih dulu dengan air panas kemudian lap kering-kering dengan kain bersih.

Jika ada kesan minyak (daripada marjerin atau lemak yang lain), putih telur yang dipukul tidak menjadi kental dengan sempurna. Ini juga satu sebab kenapa kek tidak naik dengan elok. Cara untuk memastikan putih telur sedia untuk digunakan adalah dengan menterbalikkan mangkuk. Putih telur yang cukup kental tidak akan mengalir keluar atau jatuh.

Jika sukar mendapatkan krim tartar, anda boleh gantikan dengan garam. Garam juga akan membantu putih telur menjadi kental. Sewaktu memasukkan tepung ke dalam adunan mentega, gunakan senduk kayu atau sudu keluli yang besar. Jangan masukkan sekaligus. Sebaik-baiknya, bahagikan tepung menjadi 6 bahagian. Masukkan satu bahagian, kacau rata sebelum tambah satu lagi bahagian.

Proses mencampurkan putih telur yang sudah kental ke dalam adunan dipanggil kaup balik. Caranya adalah membahagi putih telur kepada tiga bahagian. Masukkan 1/3 terlebih dulu dan kacau perlahan dengan spatula plastik. Tidak perlu memukul atau mengacau dengan laju (seperti memasukkan tepung).

Sebaik saja bahagian pertama sebati, campurkan 1/3 putih telur lagi dan kacau rata. Tujuan mengacau perlahan (dalam bentuk angka ‘8’) adalah supaya gelembung udara akan terperangkap di dalam adunan. Inilah yang akan menjadikan kek ringan dan gebu serta terlalu lembut dan enak.

Jika mahu, boleh bakar adunan di dalam mangkuk-mangkuk kertas. Pastikan mangkuk diletakkan di dalam tin ‘patty’ yang sama besar dengannya. Ini akan memastikan kek cantik setelah masak. Boleh juga gunakan mangkuk kertas yang sudah dikuatkan di sekelilingnya. Mangkuk seperti ini selalu digunakan untuk membuat cup cakes yang sungguh popular itu.

Suhu untuk membakar kek juga kurang daripada biasa kerana kandungan krim keju di dalamnya. Seperti biasa, cucuk dengan lidi hingga ke dasar untuk memastikan kek sudah masak. Kek seperti ini sesuai jika dihias dengan aising krim keju. Perhatikan bahawa sebuku krim keju seberat 250 gm dan anda hanya gunakan separuh saja. Jadi, bakinya boleh dipukul dengan gula aising serta sedikit jus lemon dan disapu sebagai aising.

Kek Mentega Keju
170 gm mentega
125 gm krim keju
250 gm gula kastor
5 biji kuning telur
210 gm tepung serbaguna }
1½ camt serbuk penaik } diayak
2 camca teh vanila
5 biji putih telur
1/8 camca teh garam


Cara membuat
1. Putar mentega dan krim keju hingga kembang dan pucat warnanya.
2. Masukkan sedikit demi sedikit gula, pukul. Ulangi hingga habis.
3. Bubuh sebiji demi sebiji kuning telur, putar sebati.
4. Masukkan pula tepung, pukul perlahan. Tambah vanila.
5. Dalam mangkuk bersih, pukul putih telur hingga berbuih.
6. Masukkan garam, putar lagi. Bila kental, bubuh 1/3 ke dalam adunan tadi.
7. Kacau perlahan dan tambah lagi 1/3 bahagian. Ulang hingga habis.
8. Ratakan adunan ke dalam tin empatsegi 22 cm yang dialas kertas kalis minyak dan dilengser marjerin.
9. Bakar pada 170 C selama 1 jam atau hingga masak.
10. Keluarkan, biar atas redai 10 minit sebelum dikeluarkan dari tin.


Panduan Membuat Biskut

Ada beberapa tips untuk mendapatkan biskut yg rangup dan sedap:

1. Panaskan ketuhar 10-15 minit sebelum membakar biskut.
2. Gunakan api bawah saja untuk membakar biskut. Lazimnya, suhu adalah 175 C-180 C.
3. Jika menggunakan api atas dan bawah serta kipas, turunkan suhu sebanyak 20 C menjadi 150 C-160 C (sekiranya suhu dalam resepi adalah 170-180 C).
4. Tambah sedikit tepung gandum jika adunan terlembik atau terlekat di tangan.
5. Tambah sedikit marjerin atau mentega jika adunan terlalu keras dan berderai atau sukar bersatu menjadi doh.
6. Adunan yang mempunyai bahan seperti oat, kacang atau emping jagung selalunya agak lembik selepas diuli tetapi akan keras bila dibiarkan lama.
7. Tutup adunan yang sudah diuli sementara menantikan masa ia dicanai.
8. Jika tin pembakar dialas dengan kertas silikon atau foil, tidak perlu dilengser dengan marjerin.
9. Gunakan marjerin untuk melengser, bukan mentega kerana mentega mudah hangus. Bahagian dasar biskut akan menjadi pahit jika hangus.
10. Bila menyapu kuning telur di atas biskut, pastikan tiada yang tertumpah ke atas tin pembakar kerana ia akan mudah hangus dan biskut melekat di tin.
11. Sebaik saja masak, ubah biskut ke atas redai supaya ia mudah sejuk. Jika dibiar, wap akan terkumpul di bawah biskut dan menyebabkannya tidak tahan lama (cepat berkulat).
12. Letak sedikit gula di dalam balang biskut supaya ia kekal rangup.
13. Letak paket berisi ‘silica’ agar biskut tahan lama dan tidak berkulat.
14. Adunan yang tidak habis dibuat boleh dibungkus kemas dan disimpan di dalam peti sejuk. Keluarkan dan biar lembut semula sebelum dicanai.

Kompilasi Biskut

Sudah berada di pasaran!!
Buku terbitan Alaf 21 Sdn Bhd ini mengandungi 60 resepi biskut. Ia merangkumi pelbagai jenis seperti tradisional, moden dan popular. Inilah buku masakan saya yg ke 18.

Selain daripada biskut manis, ada juga yg berperisa masin, pedas dan berempah. Dengan kreativiti sendiri, biskut-biskut ini juga boleh dihias dengan krim, coklat dan kekacang bagi menyedapkan rasa dan mencantikkan rupa.

Sempena Syawal yg bakal menjelang tiba, apa kata anda cuba resepi yg terdapat di dalamnya. Harga sebuah hanya RM7 saja...

Nasi Dagang

Nasi Dagang merupakan sajian terkenal dari negeri Terengganu. Bahan utama tentulah beras nasi dagang. Ia juga dikenali dengan nama beras merah. Selain di pasar (terutama sebelah utara), beras ini juga ada dijual di sesetengah pasaraya.

Beras jenis ini agak mahal daripada beras biasa kerana keunikannya. Ia perlu direndam selama 4 hingga 5 jam sebelum digunakan. Jikalau sukar mendapatkan beras nasi dagang, boleh gunakan beras biasa dengan beras pulut.

Ada juga yang menggunakan beras wangi bercampur beras pulut tetapi hendaklah direndam terlebih dulu. Dengan cara ini ia mudah masak bila dikukus. Selain harum, beras wangi juga lembut berbanding beras biasa. Malah, untuk menjimatkan, ada yang menggunakan ketiga-tiga jenis beras. Nisbahnya ialah, 1 cawan beras nasi dagang, 1 cawan beras pulut dengan 3 cawan beras biasa.

Nasi Dagang wangi kerana campuran halba di dalamnya. Selain itu, halia yang dimasukkan juga boleh menghindari angin di dalam perut. Pastikan halia tidak terlalu tua kerana ia berurat dan sukar untuk dikunyah. Halia muda juga tidak terlalu kuning warnanya dan rasanya kurang payau.

Untuk mengukus nasi ini, pastikan rak pengukus dialas dengan kain net atau kain jaring berlubang halus. Ini adalah untuk mengelakkan beras jatuh ke dalam air kukusan. Pastikan kain jaring memenuhi seluruh rak supaya mudah hendak mengalihkan pulut ke dalam bekas besar dengan sekali angkat sahaja. Anda tidak perlu menceduknya. Memadai dengan mengangkat seluruh kain jaring. Kemudian terbalikkan di dalam bekas tadi.

Ikan yang sering digunakan sebagai lauk adalah ikan tongkol. Ikan ini juga dikenali sebagai ikan kayu, ikan tuna atau aye. Ikan ini sangat banyak didapati di sebelah Pantai Timur. Ia menjadi pilihan bila membuat gulai untuk nasi dagang. Anda perlu merebus atau mengukusnya dulu.
Selain ikan tongkol, boleh juga gunakan ikan tenggiri yang seakan-akan sama tetapi mempunyai isi yang lebih lembut. Ada pula yang sukakan ayam. Caranya adalah serupa kecuali perlu mencampurkan sedikit halia ke dalam bahan kisar. Ayam juga dijerang sekali dengan semua bahan lain dan tidak perlu direbus terlebih dulu.

Supaya gulai manis, biar air rebusan sejuk. Kemudian gunakan untuk memerah santan. Anda juga boleh sukat air rebusan dan tambah santan sebanyak mana yang diperlukan di dalam resipi. Ini mudah jika anda menggunakan santan di dalam kotak atau bungkusan plastik.

Kuah gulai yang dimasak tanpa ditumis terlebih dulu dikenali dengan gulai darat. Ia hanya perlu dikacau tanpa henti. Gulai begini tidak terasa muak memakannya kerana ia tidak mengandungi minyak. Jika tidak mahu menggunakan cili padi, boleh gantikan dengan cili merah dan hijau. Cili besar hendaklah dibelah 2 tidak putus. Manakala cili padi boleh diketuk supaya gulai bertambah pedas.

Supaya gulai lebih kuning, anda boleh masukkan serbuk kunyit atau gunakan kunyit hidup (campur dengan bahan kisar dan kisar halus). Untuk menjimatkan masa, boleh juga gunakan serbuk ketumbar dan serbuk jintan putih. Sukatannya adalah separuh daripada yang dicatatkan di dalam resipi. Namun begitu, keharuman gulai akan berkurangan sedikit.

Jika suka, boleh campur belimbing buluh ke dalam gulai. Anda tidak perlu memasukkan asam gelugur kerana gulai akan menjadi masam. Bagi yang ingin mengurangkan penggunaan santan, boleh gunakan sebanyak 150 ml (dari ½ biji kelapa) bercampur 100 ml air. Bagi yang mahu menghindari santan, boleh juga gunakan susu cair tetapi hendaklah dicampur pada saat akhir, bersama dengan ikan dan cili. Pastikan gula hanya mendidih sekali selepas itu.

Nasi dagang dengan gulai ikan selalu dimakan bersama dengan acar mentah atau jelatah. Anda boleh masukkan apa saja sayur yang anda inginkan tetapi yang paling biasa adalah bawang besar, lobak merah dan timun. Acar ini jika dibuat terlalu awal akan mengeluarkan banyak air.

Sayur-sayuran itu juga akan kehilangan rasa ‘rangup’. Jika ingin yang lebih rangup, pastikan anda rendam timun dan lobak merah di dalam bekas berisi air kapur selama 30 minit. Kemudian bilas dan gunakan seperti biasa.

Nasi Dagang

400 g beras wangi
100 g beras pulut
5 ulas bawang merah - dihiris nipis
2 cm halia - dihiris halus memanjang
1 camca besar halba
250 ml santan (dari 1 biji kelapa)
1 camca teh garam
½ camca teh gula

Cara membuat:
1. Rendam beras wangi dan beras pulut selama 5 jam.
2. Toskan beras dan letak dalam rak pengukus.
3. Kukus selama 15 minit. Angkat, letak di dalam bekas besar.
4. Bilas dengan air biasa. Kukus lagi selama 10 minit.
5. Letak semula dalam bekas besar, gaul dengan garam, gula, santan dan campuran bawang dan halba.
6. Kukus selama 10 minit lagi kemudian angkat.

Gulai Ikan
2 camca besar biji ketumbar
1 camca teh jintan putih
500 gm kepingan ikan tongkol
2 keping asam gelugur
600 ml santan (1½ biji kelapa)
1 batang serai - dititik
1 camca besar kerisik
4 biji cili padi merah
4 biji cili padi hijau
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar
2 camca besar pes cili
5 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 cm lengkuas
2 biji buah keras

Cara membuat:
1. Goreng tanpa minyak ketumbar dan jintan. Bila wangi, tumbuk halus.
2. Rebus ikan dengan asam gelugur hingga masak.
3. Jerang rempah tumbuk, asam gelugur, santan, serai, kerisik, bahan kisar, garam dan gula.
4. Kacau selalu atas api sederhana hingga mendidih.
5. Masukkan ikan, cili merah dan cili hijau.
6. Bila mendidih semula, bolehlah diangkat.

Acar
1 biji timun
1 batang lobak merah
1 tangkai cili merah
2 hirisan nenas
½ labu bawang besar
2 camca besar cuka
1 camca besar
gulagaram secukupnya

Cara membuat:
1. Timun dipotong 3 cm, buangkan empulur. Hiris halus.
2. Potong lobak, cili merah, nenas dan bawang besar halus-halus.
3.Gaulkan dengan cuka, gula dan garam hingga sebati.

Air Katira2

Versi yg berbeza:

Bahan untuk Sirap
(masak hingga gula larut)
2 cawan gula pasir

3 cawan air
2 helai daun pandan

Bahan-bahan lain
½ cawan khatira
½ cawan biji selasih
10 biji kembang semangkuk
1 tin susu cair
6 – 8 cawan air masak

1. Untuk Khatira – direndam semalaman dan dibuang segala kotoran dan dibilas beberapa kali dengan air bersih dan ditoskan. Ketepikan.
2. Untuk Kembang Semangkuk – direndam semalaman, buang biji dan segala kotoran dan kulitnya. Ambil isinya dan bilas dengan air bersih beberapa kali dan ditoskan. Ketepikan.
3. Untuk Biji Selasih – direndam didalam air panas sehingga ia kembang dan toskan.
4. Masukkan khatira, isi kembang semangkuk dan biji selasih kedalam jug. Tuangkan susu cair dan sirap gula yang telah disediakan. Masukkan air masak, kacau rata.
5. Akhir sekali masukkan beberapa ketulan air batu dan sedia untuk dihidang.

Tip: Jika anda ingin buat Air Khatira berwarna hijau, titikkan sedikit pewarna hijau dan boleh anda campurkan isi buah avocado kedalamnya. Untuk Air Khatira Bandung, boleh and gunakan Sirap Rose dan susu cair sama seperti kita buat Air Bandung. Anda boleh mendapatkan khatira di kedai orang India, ia juga dikenali dengan nama Karaya Gum. Kembang Semangkuk ada dijual di kedai sinseh.

Credit to:
http://manzan71.blogspot.com/

Air Katira

Bahan-bahan:
410 gm susu cair
500 ml ais krim soda
Sagu 3 warna
cendol
cincau - potong
kacang tanah goreng - buang kulit
sedikit asam boi
hirisan kurma
air secukupnya

Bahan sirap hijau:
Gula (ikut suka manisnya)
sedikit pewarna hijau
daun pandan

Cara membuat:
Untuk sirap hijau: Jerang air dan gula pasir, masukkan warna hijau dan daun pandan.
Bancuhkan sirap hijau dan susu cair.
Kemudian masukkan bahan-bahan lain dan ais krim soda.

ps : Sesuai sebagai hidangan berbuka puasa.

Barbeque

Bila mengadakan majlis di halaman, tiada yang lebih sesuai dan menyeronokkan daripada bar-be-que. Ia adalah kaedah memasak makanan dengan cara memanggang. Tidak sukar jikalau anda atau rakan-rakan pernah membuatnya. Memang sesuatu yang menggembirakan bila dapat berbual sambil menikmati bau makanan yang sedang dipanggang.

Jika anda tiada tempat memanggang khas, anda boleh nyalakan api di atas tanah. Kemudian gunakan dua tungku atau batu bata supaya kedudukan bahan yang anda ingin bakar lebih tinggi. Jika bara api terlalu dekat, makanan mudah hangus. Jangan nyalakan api tersebut di atas lantai simen. Alas terlebih dulu dengan zink atau sebarang kepingan besi atau keluli.

Memanggang juga boleh dilakukan di bawah gril. Hanya sesetengah ketuhar yang mempunyai elemen gril. Pastikan bahan diletakkan agak jauh daripada atas (bahagian gril). Letak bahan di atas redai yang telah disapu dengan minyak supaya ia tidak melekat. Redai pula hendaklah diletakkan di atas tin pembakar yang dilapik dengan foil.

Tujuan menggunakan redai adalah supaya cecair yang terbit daripada makanan akan terkumpul di dalam tin pembakar. Ini akan memastikan makanan masak dengan sempurna. Anda juga perlu merenjiskan makanan itu dengan sedikit bahan perap atau minyak. Dengan cara ini, makanan tidak akan menjadi kering. Ia juga akan mengempukkan daging dengan sempurna.

Bila memanggang, jangan suka menterbalikkan sesuka hati. Ini akan melambatkan daging masak. Biar ia keperangan terlebih dulu baru diterbalikkan. Sekiranya api menyala, alihkan daging atau ayam tersebut dengan segera. Kadangkala lemak daripada makanan itu dapat memarakkan api. Pastikan anda memanggang dengan bara sahaja. Jadi, pilihlah arang yang terbaik kerana ia mudah menjadi bara.

Jika hendak memerap lebih daripada 4 jam, letakkan di dalam peti sejuk. Keluarkan kira-kira sejam sebelum mula memanggang. Jika daging atau ayam dibiarkan pada suhu bilik dalam jangkamasa yang lama, bakteria akan membiak dengan cepat. Bakteria inilah yang boleh membuat anda berasa sakit perut.

Bila memilih steak untuk memanggang, carilah jenis striploin, rib-eye atau T-bone. Bahagian ini lebih lembut. Jika membeli daging di pasaraya, memang ada potongan khas untuk membuat steak. Selalunya ia adalah yang paling mahal kerana mudah empuk. Jika keliru, anda boleh tanyakan pada penjual.

Manakala daging kambing seharusnya yang mempunyai lapisan lemak. Lemak inilah dapat mengekalkan kelembutan kambing bila dipanggang. Jika di bahagian rusuk yang ada sedikit tulang, adalah lebih baik kerana ia lebih mudah untuk diterbalikkan. Untuk mendapatkan kambing bar-be-que yang lebih sedap, taburkan daun rosemary kering atau segar di atas kambing semasa memanggangnya.

Semasa membuat kuah atau sos, pastikan ia mendidih betul. Ini untuk memastikan semua bakteria yang mungkin ada di dalam bahan perap itu dihapuskan. Anda juga boleh menyediakan bahan sos berpandukan resipi. Jadi, tidak perlu menggunakan baki bahan perap. Ini adalah kerana kadangkala baki bahan perap tidak mencukupi untuk tetamu yang ramai.

Makanan bar-be-que yang biasa adalah udang, sotong dan ikan. Untuk memudahkan anda memanggang sotong, susun dalam bekas memanggang keluli yang berkepit. Anda juga boleh menggunakan skewer atau besi pemanggang khas. Ini dapat menjimatkan masa dibandingkan jikalau anda perlu menterbalikkan bahan tersebut satu-persatu.

Hidangan sampingan untuk bar-be-que lazimnya adalah campuran ubi kentang rebus, hirisan seleri, telur rebus bersama mayonis, sos Thousand Island, garam dan serbuk lada hitam. Untuk lebih enak, sajikan juga jagung yang sudah direbus kemudian disapu dengan mentega dan serbuk perisa makanan kemudian dipanggang.

Selain itu, sediakan daun-daun salad, tomato, timun dll yang digaul dengan jus limau serta minyak zaitun. Sayuran segar seperti timun dapat mengurangkan efek carcinogen bahagian garing (atau hangus sedikit) pada makanan yang dipanggang.

BAR-BE-QUE
4 keping paha ayam, tanpa tulang
4 keping steak
4 keping daging kambing
1 camb tepung jagung } campur
60 ml air }

Bahan sos/perap
125 ml sos masam manis
125 ml sos cili
125 ml sos tomato
90 ml sos plam
125 ml sos blackpepper
60 ml sos Hoisin
60 ml sos tiram
30 ml madu
1 camb kicap manis
1 camb serbuk lada hitam
1 camt herba Itali, jika suka
Garam secukupnya

Cara membuat
1. Satukan semua bahan perap di dalam bekas plastik.
2. Campurkan dengan ayam, steak dan daging kambing.
3. Tutup dan biar selama 4 jam. Hendaklah digaul sebanyak 2 hingga 3 kali.
4. Panggang di atas bara api hingga masak.
5. Untuk sos: Jerang bahan perap dengan campuran tepung jagung.
6. Kacau atas api sederhana hingga pekat. Hidangkan bersama bahan barbeque.


Aiskrim


Pernahkah terbayang membuat aiskrim sendiri di rumah? Ia tidak sukar langsung. Membuatnya juga tidak cerewet. Malah anda akan dapati rasanya boleh dipelbagaikan dengan membubuh pewarna dan perisa berbeza. Apa yang paling mustahak, anda akan dapati rasanya lebih sedap daripada kebanyakan aiskrim yang dibeli!

Tidak percaya? Cuba buat sendiri dan anda akan dapati ia benar. Anda tidak perlu menggunakan mesin pembuat aiskrim. Mesin jenis ini cuma berbaloi jika anda selalu membuat aiskrim. Dengan resipi ditunjukkan, yang perlu ada hanya pemutar elektrik (mixer) samada jenis pegang (hand-whisk) atau bermangkuk (with stand) jika membuatnya banyak.

Perisa yang biasa tentulah vanila. Namun begitu anda boleh campurkan hirisan kecil buah-buahan seperti laici atau strawberi, kekacang panggang seperti badam, serbuk biskut seperti Oreo. Selain itu, boleh masukkan parutan coklat masakan atau coklat urai dan cip coklat. Jadi, kesimpulannya banyak bahan yang boleh dimasukkan untuk menyedapkan aiskrim.

Ada juga resipi aiskrim yang menggunakan telur. Oleh kerana telur tidak dimasak, aiskrim begini tidak sesuai untuk ibu-ibu mengandung, bayi atau orang-orang yang terlalu tua. Ini adalah kerana mereka mungkin mendapat keracunan salmonella. Ini disebabkan daya ketahanan mereka agak lemah. Jadi, resipi yang disertakan di sini sangat sesuai untuk sesiapa saja.

Perlu difahami terutama tentang peti sejuk atau peti ais. Ruang yang digunakan untuk membuat aiskrim adalah peti pembeku atau freezer. Jika anda set pada suhu paling rendah, aiskrim akan lekas beku. Namun begitu, sekiranya banyak barangan yang disimpan di situ, anda mesti rendahkan sehingga ke maksima. Ini adalah kerana ruang dingin yang agak sempit dan tidak mencukupi.

Di antara lima bahan untuk membuat aiskrim, mungkin ramai yang masih tidak biasa dengan krim putar. Ia dikenali dengan whipping cream atau double cream. Manakala whipped cream pula adalah krim putar yang sudah diputar hingga kental atau keras.

Jangan terlebih putar atau pukul kerana ia mudah menjadi cair semula. Jika ini terjadi, anda tidak boleh menggunakannya lagi. Lakukan dengan pemutar elektrik pada tahap paling minima. Jika hendak memukul dengan tangan, gunakan pemutar belon atau balloon whisk.

Setiap kali memutar krim, gunakan pemukul yang sudah dibilas dengan air panas dan dilap kering. Begitu juga dengan mangkuknya. Jika ada kesan gris atau lemak serta minyak (dari mentega atau marjerin), krim putar tidak akan menjadi kental. Sebaik-baiknya letak pemutar dan mangkuk di dalam peti sejuk supaya krim mudah kental.

Jangan keliru di antara krim putar tenusu dengan yang bukan tenusu (non-dairy topping). Meskipun ia dijual di dalam bekas yang hampir sama, krim bukan tenusu adalah untuk menghias kek. Non-dairy topping lebih putih dan mudah kental bila dipukul. Jadi, sangat sesuai digunakan sebagai aising. Anda perlu campurkan dengan gula aising secukup manis sebelum memukulnya. Namun begitu ada juga yang dijual sudah sedia manis.

Coffeemate memberi rasa lemak dan harum pada aiskrim. Ia memang mudah larut dengan gula dan susu. Jika anda ingin mengurangkan lemak di dalam aiskrim ini, gantikan susu segar (fresh milk) dengan susu rendah lemak (non-fat milk) atau susu skim. Susu skim dalam bentuk serbuk mesti dicampurkan dengan air suam sebelum digunakan. Ini adalah supaya ia mudah larut.

Bekas menyimpan aiskrim sebaik-baiknya diperbuat daripada plastik. Ia mestilah mempunyai penutup yang kemas dan tidak mudah tanggal. Kalau boleh, jangan gunakan plastik pakai-buang kerana ia mudah pecah setelah disimpan lama di dalam peti pembeku. Jika anda mempunyai bekas aiskrim yang tidak digunakan lagi, ia adalah lebih baik.

Jika membuat aiskrim dengan banyak, bolehlah campurkan pelbagai perisa dan pewarna berbeza. Tandakan pada bekas tempat menyimpan (peti pembeku) supaya lebih sistematik. Catatkan tarikh dibuat kerana ia selalunya tahan sehingga 3 bulan. Sebelum dimakan, biar pada suhu bilik selama 8-10 minit sebelum mencedukkannya ke dalam gelas.

Aiskrim buatan sendiri tidak seperti aiskrim yang dibeli di kedai. Oleh kerana aiskrim buatan sendiri tidak mempunyai bahan pengawet atau campuran kimia yang lain, ia mudah cair berbanding dengan aiskrim ‘komersial’. Walaupun begitu, rasanya sangat sedap dan anda hanya perlu menunggu sekali saja dalam proses membuatnya.

Untuk memastikan aiskrim ‘separuh beku’ (langkah ke 4), perhatikan sekeliling aiskrim. Jika keras, bolehlah dituangkan ke dalam mangkuk. Jika terlebih masa dan aiskrim nampak sudah menjadi terlalu beku, keluarkan dan biar pada suhu bilik. Sebaik saja sebahagiannya menjadi cair, terus pukul hingga teksturnya halus dan kembang sedikit.

Anda boleh hidangkan aiskrim dengan ceri, kekacang cincang, sos coklat atau sos strawberi. Untuk aiskrim hijau, cuba tambah perisa pudina dan warna hijau. Manakala perisa keladi dan warna ungu. Jadi, terpulanglah pada kreativiti masing-masing.

AISKRIM
150 gm coffeemate
100 gm gula kastor
250 ml susu segar
250 ml krim putar
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya
1. Larutkan coffeemate, gula dengan susu, ketepikan.
2. Putar krim hingga kental. Campurkan dengan vanila dan susu tadi.
3. Letak di dalam bekas bertutup.
4. Simpan dalam peti pembeku sehingga separuh beku.
5. Letak di dalam mangkuk, pukul tahap maksima dengan pemutar elektrik selama 7-8 minit.
6. Tuangkan semula ke dalam bekas bertutup.
7. Simpan dalam peti pembeku selama 10 jam.

Cupcakes













Ia comel, berhias cantik dan memikat selera. Apa lagi jika bukan kek cawan atau kek mangkuk? Sejak kebelakangan ini, ia sudah menjadi satu hidangan popular atau trend terutama di kota atau bandar besar. Malah setiap majlis tidak akan lengkap tanpa kehadiran kek-kek kecil yang juga dikenali dengan nama cuppies ini. Tetamu juga diberi kek cawan sebagai cenderahati untuk dibawa pulang.

Ramai surirumah menceburi bidang perniagaan dengan membekalkan kek seumpama ini kepada jiran-jiran, sahabat-handai dan saudara-mara. Ia menjadi tumpuan di majlis harijadi, pertunangan atau perkahwinan (sebagai hantaran). Terkini ia menjadi satu kemestian di mana-mana majlis pelancaran produk terbaru syarikat korporat. Ini adalah kerana hiasan di atas kek boleh diubahsuai mengikut kehendak atau citarasa pelanggan.

Ada beberapa saiz mangkuk kertas atau paper cups. Juga pelbagai corak dan warna. Apa yang paling penting adalah memastikan mangkuk kertas diletakkan ke dalam ‘patty tins’ yg sama saiz. Dengan cara ini sahaja bentuk kek akan kekal cantik semasa dibakar. Ada juga mangkuk kertas yang sudah dibentukkan dengan kertas keras dan boleh dibakar begitu saja (tanpa perlukan ‘patty tins’).

Jangan isikan adunan sehingga tiga suku penuh kerana kek akan menjadi sama rata dengan tepi keliling bila sudah masak. Ini merugikan kerana anda perlu membuang bahagian atasnya untuk menyapu aising. Jadi, sebaik-baiknya timbang setiap adunan (di dalam mangkuk kertas) supaya sama banyak. Jika tidak, ada kek yang akan penuh dan ada yang kurang. Bila kurang, anda terpaksa gunakan lebih banyak aising. Untuk acuan sederhana besar, sebanyak 44 gm sudah memadai.

Aising mentega yang digunakan di sini tidak manis. Ia tidak seperti aising mentega yang biasa. Rasanya yang lemak itu tidak menjemukan. Anda juga tidak perlu menggunakan gula aising yang banyak seperti membuat aising mentega yang popular (mentega campur gula aising). Jadi, lebih ramai orang yang akan gemarkan aising mentega susu. Aising atau krim ini sangat sesuai bagi menghias sebarang jenis kek.

Apakah ‘krimwell’? Tekstur dan warnanya adalah seperti lemak sayuran (vegetable shortening). Sama seperti tekstur marjerin tetapi berwarna kuning pucat. Ia tidak perlu diletakkan di dalam peti sejuk dan selalu dijual di dalam bekas plastik lutsinar yang bertutup kemas. Krimwell juga dikenali sebagai ‘creamwell’ dalam Bahasa Inggeris. Salah satu jenama lain yang popular adalah marvello (sekitar awal 1990-an).

Krimwell yang agak keputih-putihan memudahkan aising diwarnakan. Anda boleh gunakan warna biasa atau esen di dalam botol. Hanya beberapa titik diperlukan. Bila membahagikan aising, pastikan secukupnya saja kerana anda boleh menambah lagi jika perlu. Sekiranya gemarkan aising yang manis, boleh tambahkan gula aising.

Jangan gunakan mentega tulen (SCS, Fernleaf) untuk membuat aising kerana ia mudah cair. Pilihlah mentega (susu) yang bercampur dengan sayuran (kelapa sawit) seperti Butterblend, Buttercup. Ia lebih murah daripada mentega tulen namun baunya juga tidak sekuat atau seharum mentega tersebut.

Kekeliruan mungkin timbul dengan bahan Quick 75. Ia juga dikenali dengan nama ovalette. Diperbuat daripada sumber soya, Quick 75 atau ‘Sponge Cake Emulsifier’ mampu menggebukan kek. Selain itu, pastikan telur bersaiz besar (Gred A) serta masih baru. Telur lama kehilangan faktor yang dapat membuat kek lebih ringan dan ‘cair’ di dalam mulut.

Paling penting untuk diingati adalah semasa membakar kek. Jangan atur kek dalam susunan empatsegi mengikut bentuk tin pembakar. Ini akan membuat kek di bahagian ‘belakang’ dan ‘tepi’ berdekatan dinding oven mengembang dengan cepat. Suhu di situ lebih panas. Adunan mungkin melimpah keluar daripada mangkuk kertas dan ini merosakkan atau mencomotkan kek kerana ia akan melekat pada bahagian tepinya.

Susun mangkuk kertas dalam bentuk membulat atau gunakan tin pembakar bulat seperti tudung periuk. Elakkan menggunakan loyang kerana bahagian keliling yang tinggi melambatkan proses membakar. Selalu pusingkan bahagian belakang ke sebelah hadapan bila kek sudah separuh masak.

Jika mahu menggunakan kipas dalaman dan kepanasan atas dan bawah semasa membakar, turunkan suhu kepada 160 C-170 C. Ketepatan suhu bergantung pada ketuhar masing-masing, berapa lama digunakan dan jenama. Ketuhar yang lebih canggih dan mahal tentukan mempunyai kepanasan dalaman yang lebih sekata. Manakala ketuhar yang menggunakan gas kadangkala membuat kek berbau kurang enak.

Untuk mendapatkan corak yang diinginkan, lakarkan terlebih dulu di atas kertas. Tandakan warna-warna yang anda inginkan. Isikan ke dalam beg aising dengan nozzle yang sesuai. Misalnya, bentuk bintang pecah 5 atau 8, bentuk daun (yang boleh menjadi kelopak bunga matahari) atau bentuk bergerigi sebelah (yang boleh menjadi corak pada tepi bakul).

KEK CAWAN
(Menghasilkan anggaran 25 biji kek cawan.)

Bahan-bahannya
250 gm mentega
230 gm gula kastor
2 camca teh Quick 75
4 biji telur Gred A
270 gm tepung serbaguna } diayak
1 camca teh serbuk penaik }
60 gm susu pekat
2 camca besar susu segar/cair
1 camca teh vanila

Hiasan
Aising mentega susu biasa
Aising mentega oren/ungu
Mawar kecil (merah muda)
Parutan coklat

Cara membuatnya
1. Putar mentega, gula dan Quick 75 hingga gebu.
2. Masukkan sebiji demi sebiji telur, pukul sebati setiap kali.
3. Campurkan bahan ayak, kacau rata.
4. Bubuh susu pekat, susu cair dan vanila.
5. Bila sebati, timbang sebanyak 44 gm untuk setiap cawan kek (saiz sederhana).
6. Bakar pada 190 C selama 20-25 minit atau hingga masak.
7. Biar kek sejuk sebelum dihias ikut suka.


AISING MENTEGA SUSU
(cukup untuk menghias kek cawan di atas)

Bahan-bahannya
125 gm mentega (bukan mentega tulen/pure)
125 gm krimwell
100 gm susu pekat
20 gm gula aising, diayak
1/2 camca teh vanila
Pewarna oren, ungu, merah dll

Untuk aising coklat (dipukul sekali dalam langkah 1)
15 gm serbuk koko, diayak
1 camca besar susu cair

Cara membuatnya
1. Pukul semua bahan dengan pemutar elektrik.
2. Pastikan berhenti sekali-sekali dan kacau dengan spatula supaya semuanya sebati.
3. Bila kembang, pucat dan gebu, bahagikan mengikut warna yang dikehendaki.
4. Sapukan kek dengan aising kemudian hiaskan mengikut citarasa masing-masing.


Kek Menanti Kasih

Sungguh tak disangka, novel Menanti Kasih telah
mengilhamkan Dayang mencipta kek lapis yg
istimewa ini.
Ia mengandungi lapisan prun berisi coklat dan ceri
yg sungguh enak dan pasti cair di dalam mulut!

Terima kasih buat Dayang yg begitu kreatif. Saya pasti kelazatan Kek Lapis Menanti Kasih ini adalah setanding dengan keseronokan serta kepuasan pembaca menikmati perjalanan kisah di dalam novel terbaru saya...

Gulai Tempoyak

Musim durian adalah musim tempoyak. Bagi anda yang tidak biasa dengan tempoyak atau tidak sukakannya mungkin tidak dapat membayangkan bagaimana sedapnya ia bila dibuat gulai.
Tempoyak juga mudah disediakan sendiri. Selalunya, ia diperbuat daripada isi durian yang tidak begitu elok atau sudah mulai masam. Gunakan pisau yang kering. Basuh tangan dan lap kering-kering. Ambil isinya saja dan bubuh di dalam bekas plastik. Untuk 1 cawan isi durian, campurkan 1 camca besar garam.


Jika tempoyak dibuat dengan isi durian yang elok, rasanya lebih sedap dan harum. Anda juga tidak perlu menunggu hingga tempoyak bertukar menjadi terlalu masam sebelum menggunakannya.
Gaul rata isi durian dan garam. Kemudian tutup kemas. Simpan di tempat yang gelap dan sejuk sedikit seperti di dalam almari atau kabinet dapur. Esoknya, gaul semula dan tutup. Biarkan selama 3-4 hari sebelum diubah ke dalam peti sejuk. Letak di atas rak paling bawah.

Anda boleh gunakan atau simpan tempoyak selama beberapa bulan. Anda juga boleh menambah dengan isi durian yang baru ke dalam tempoyak yang lama. Dengan cara ini, tempoyak juga akan berasa kurang masam.
Selain dibuat gulai, tempoyak boleh dibuat sambal mentah. Caranya sangat mudah. Tumbuk cili merah, cili padi dan ikan bilis hingga hancur. Gaulkan dengan tempoyak dan hidangkan. Anda juga boleh sajikan tempoyak secara berasingan dengan bahan tumbuk tadi. Dengan cara ini, tetamu dapat mengambil sukatan sambal dan tempoyak mengikut kesukaan mereka sendiri.

Gulai tempoyak adalah sajian tradisional di Pahang dan di Perak. Ini mungkin kerana pokok durian banyak tumbuh di kedua-dua negeri. Sukar untuk mencari perbezaan di antara gulai tempoyak asli di Pahang mahupun Perak.
Apa yang ketara, gulai tempoyak di Pahang, terutama di sekitar daerah Temerloh, dibuat dengan ikan patin. Ikan patin yang hidup di dalam sungai sangat enak jika dibuat gulai dengan tempoyak kerana ia sangat berlemak. Isinya juga lembut dan mudah menyerap keharuman tersendiri tempoyak.

Gulai tempoyak dari Perak kadangkala dibuat dengan ikan terubuk. Gulai juga dicampur timun ladang iaitu sejenis timun besar berkulit coklat muda. Gulai pula dimasak di dalam periuk tanah supaya rasanya lebih asli.
Selain daripada patin dan tempoyak, ikan keli juga boleh dibuat gulai tempoyak. Lazimnya ikan keli dibakar terlebih dulu supaya isinya tidak hancur di dalam gulai itu. Lain-lain jenis ikan terutama ikan air tawar juga sangat sesuai.

Herba seperti daun kesom turut dimasukkan sekali. Ini untuk mewangikan gulai. Ada juga yang membubuh bunga kantan yang dibelah dua tidak putus. Sesetengah orang suka menambah daun kunyit yang disiat-siat supaya gulai menjadi harum.
Adalah penting menggunakan kunyit segar. Namun, jika tiada anda boleh ganti dengan serbuk kunyit. Tidak perlu gunakan kunyit yang banyak kerana warna tempoyak memang kekuningan. Jika terlebih kunyit segar, rasa gulai akan menjadi payau dan tidak sedap lagi.

Salah satu lagi bahan penting adalah serai. Serai dikisar dengan bahan-bahan lain seperti cili merah dan cili padi. Ia juga boleh dititik atau diketuk dan dimasukkan sekali di dalam gulai. Asam gelugur atau asam keping tidak perlu bila membuat gulai tempoyak kerana tempoyak sudah sedia masam. Sekiranya tempoyak tidak begitu masam, anda boleh tambah asam gelugur atau masak dengan belimbing buluh.
Sebenarnya, memang mudah hendak membuat gulai tempoyak. Ia boleh disediakan dalam dua langkah saja. Pertama, kisar semua bahan. Kedua, masukkan ke dalam periuk berisi ikan dan air. Malah ia adalah salah satu masakan yang cepat dimasak. Anda tidak perlukan kemahiran atau pengalaman yang banyak. Hanya perlu mengacaunya sekali-sekala di atas api yang sederhana perlahan.

Oleh kerana tempoyak masin, anda juga tidak perlu masukkan garam. Untuk gulai yang agak merah, tambah cili merah. Jika inginkan gulai yang lebih pedas, tambah cili padi. Bagi mendapatkan rasa tempoyak yang sebenarnya, anda perlu kisar separuh tempoyak dengan campuran cili. Manakala separuh lagi dimasukkan ke dalam gulai sebelum menjerangnya.
Untuk mendapatkan gulai tempoyak yang lebih lemak, tambahkan sedikit pati santan di dalam campuran bahan kisar dan air.

GULAI TEMPOYAK
4-5 keping ikan patin atau terubuk
500 ml air
2 camca besar tempoyak
1 helai daun kunyit, disimpulkan
Garam, gula secukup rasa

Bahan kisar
3-4 biji cili merah
7-8 biji cili padi
2 cm kunyit
2 camca besar tempoyak
1 batang serai

1. Satukan ikan, air, tempoyak, daun kunyit dan bahan kisar di dalam periuk.
2. Jerang hingga mendidih sambil dikacau sekali-sekala.
3. Perlahankan api, tambah garam dan gula. Biar merenih seketika.
4. Bila ikan masak, bolehlah diangkat dan disajikan.

Nota: Jika suka kuahnya agak cair, tambah air.

Spageti 5-minit

Jika tetamu datang tiba-tiba dan anda hanya ada setin sup cendawan, tuna mayonis dan sepaket spaghetti, apakah masakan yang boleh anda sediakan dalam masa lima minit? Jawapannya, resepi spaghetti yang cuma mempunyai empat langkah!

Pilihlah spaghetti jenis angel hair yang halus seperti bihun. Rebus dalam air banyak bercampur sedikit garam dan minyak masak. Bila ia lembut tetapi masih al dente atau ‘rangup’ dan tidak terlalu lembik bila dikunyah, tuangkan ke dalam penyejat. Gaul dengan 1 camca besar minyak supaya ia tidak melekat. Kemudian bahagikan ke dalam pinggan untuk individu.

Langkah pertama adalah mencairkan mentega. Pastikan apinya perlahan saja. Ini akan mengelak daripada mentega menjadi hangus. Sebaik-baiknya, gunakan periuk kalis lekat atau periuk kaca. Bila mentega cair seluruhnya, masukkan tepung dan kacau tanpa henti hingga sebati. Jangan sesekali membiarkan ia perang atau terlalu garing kerana ini akan mengurangkan kesedapan kuahnya. Seperkara yang mesti diingat, mentega tidak boleh digantikan dengan marjerin.

Seterusnya, masukkan campuran susu, air, sup dan tuna. Jika anda hanya masukkan susu dan air, ia akan menjadi sos putih atau Bechamel Sauce. Sos putih adalah salah satu jenis sos asas untuk pelbagai masakan Barat. Contohnya, lasagne iaitu kepingan pasta berlapis daging dan sos bertomato. Jika dimasukkan keju parut, ia menjadi sos keju dan boleh digaul dengan sebarang jenis pasta.

Sekiranya anda ingin mengurangkan rasa lemak di dalam sajian ini, gunakan susu rendah lemak. Satu cara lagi adalah mencampurkan 100 ml susu segar atau susu UHT dengan 325 ml air. Untuk menyedapkan sos ini, boleh juga gunakan air rebusan ayam atau campurkan sedikit stok ayam ke dalamnya.

Jika tidak sukakan tuna, boleh diganti dengan sardin atau mackerel dalam tin. Jika sardin di dalam sos tomato, sejatkan dulu sosnya. Hancurkan sardin dan masukkan ke dalam sos putih bersama sup cendawan. Jadi, banyak kegunaan sardin selain daripada dibuat sandwic dan sambal, bukan?
Selain daripada sup cendawan biasa, boleh juga gunakan sup cendawan yang ada campuran jagung, makanan laut dan sebagainya. Apa jua hidangan akan menjadi berlainan dengan kreativiti masing-masing. Dada ayam yang sudah direbus dan dicarik juga boleh dicampurkan sekali jikalau menggunakan sup ayam di dalam tin. Taburkan hirisan daun parsli atau daun bawang dan daun sup supaya hidangan lebih menarik.

Daun sup juga dikenali sebagai daun salderi atau Chinese parsley. Usah keliru dengan batang seleri atau celery yang panjang seperti keladi, berwarna hijau muda dan sering digunakan di dalam sup ala Thai. Antara khasiatnya adalah mengurangkan tekanan darah tinggi. Jika dikisar bersama epal hijau dan timun, ia dikatakan boleh menghapuskan sisa toksik di samping menguruskan badan dan mencantikkan kulit.

Manakala English parsley pula berdaun halus, berwarna hijau tua dan dijual berjambak-jambak. Selalunya hanya dijual di pasaraya yang besar kerana permintaan yang lebih tinggi di situ. Ia selalu digunakan dalam masakan Barat dan Italy. Namun begitu ia tidak sesuai sebagai ulam kerana bagi sesetengah orang, boleh mengakibatkan perut tidak selesa.

Oleh kerana kuah atau sos spaghetti ini pekat, ia boleh dijadikan pencicah di meja buffet. Lazimnya, ia dikenali sebagai fondue. Hirisan epal, tomato, kepingan biskut tawar, jejari seleri, kerepek keju, keropok ikan dan lain-lain disusun di sekeliling mangkuk berisi sos itu. Bila hendak dimakan, tetamu boleh memilih mana yang mereka sukai. Kemudian boleh mencicahkan bahan tersebut ke dalam sos atau meletakkan sedikit ke dalam pinggan masing-masing.

Jadi, apa yang boleh anda saji berpandukan resepi sos cendawan bertuna ini tidaklah terhad. Selain daripada menggunakan bahan-bahan asas yang selalunya ada di mana-mana rumah pun (mentega, tepung dan susu), hidangan ini juga sangat mudah dan sedap. Yang penting, ia boleh disediakan dalam masa tidak sampai lima minit!

Spageti 5-Minit
300 gm spaghetti, direbus al dente
40 gm mentega
25 gm tepung gandum
225 ml susu segar
200 ml air
250 ml sup cendawan (dalam tin)
185 gm tuna mayonis (dalam tin)
Serbuk lada hitam, garam secukup rasa
Tomato ceri, daun salad (hiasan)

Cara membuatnya
1. Cairkan mentega atas api perlahan.
2. Masukkan tepung dan kacau 1 minit.
3. Tuangkan susu, air, sup cendawan dan tuna.
4. Kacau hingga mendidih dan pekat. Tambah serbuk lada hitam dan garam.

* Jika suka kuah lebih cair, tambahkan air panas pada langkah 4.

Siew Mai

Siew Mai atau Shuimai adalah salah satu sajian makanan di dalam koleksi pelbagai hidangan yang dikenali sebagai Dim Sum. Ia popular terutama di hotel-hotel dan restoran. Selain daripada siew mai (jenis kukus atau goreng), sajian yang lazimnya ada ialah pau (pelbagai warna, saiz dan bentuk), char kuey (Chinese cruellers), bebola udang, ketam dan sebagainya.

Bahan paling penting bila membuat siew mai ialah kulit wantan. Ia ada di dalam bentuk empatsegi dan bulat. Pilihan bentuk bergantung pada jenis siew mai yang ingin anda buat. Untuk resepi ini, saya memilih kulit wantan bulat. Sekiranya hanya ada yang berbentuk empatsegi, anda boleh gunting penjurunya supaya ia berbentuk bulat.

Jika anda mahu membuat sendiri kulitnya, gaulkan 1½ cawan tepung serbaguna dengan ½ cawan tepung jagung, secubit garam, 1 biji telur dan ½ cawan air. Setelah menjadi doh, hendaklah diuli sehingga licin dan halus teksturnya. Potong menjadi dua bahagian dan bungkus dengan plastik. Biar selama 25-30 minit.

Canai doh atas papan yang ditaburi tepung jagung. Pencanai atau penggelek juga perlu disaluti tepung jagung supaya doh tidak melekat. Bila telah nipis, gunakan acuan bulat untuk mendapatkan bentuk bulat atau potong empatsegi (berpandukan pembaris).

Siew mai jenis dikukus selalunya dibuat terbuka (lihat gambar). Manakala untuk direbus, ditutup kemas supaya intinya tidak keluar. Begitu juga untuk digoreng. Jadi, anda dapat menyediakan tiga jenis dim sum daripada satu resepi ini.

Untuk memastikan kulit wantan bertutup kemas (untuk direbus atau dikukus), lembabkan sekelilingnya dengan air setelah meletakkan inti. Tangkupkan kedua-dua belah kulit dan tekan perlahan-lahan. Anda boleh mencipta pelbagai bentuk dim sum mengikut kreativiti sendiri.

Sementara jika hendak menggorengnya, gunakan ‘bahan pemekat’ iaitu campuran sedikit air dengan tepung serbaguna/gandum atau tepung jagung. Dengan cara ini saja, kulitnya tidak terbuka bila digoreng dalam minyak yang banyak.

Salah satu bahan isian yang paling penting adalah sengkuang Cina. Adakah boleh digantikan dengan sengkuang biasa? Memang boleh tetapi sengkuang biasa lebih ‘berair’ dan kurang ‘rangup’ jika dibandingkan dengan sengkuang Cina. Sengkuang Cina boleh dibeli di pasaraya dan perlu dikupas kulitnya yang hitam.

Jika gemarkan isi yang pedas, boleh masukkan serbuk lada hitam atau serbuk cili. Paling sedap jikalau disajikan dengan sos cili Thai atau sos cili bawang putih yang dibuat sendiri. Caranya adalah mengisar cili merah dengan sedikit bawang putih. Kemudian jerang dengan cuka, gula dan garam sehingga mendidih. Bila sos pekat, bolehlah diangkat. Ada juga yang menambah sos dengan sedikit mayonis supaya bertambah lemak.

Hanya gunakan telur secukupnya, tidak perlu dihabiskan. Tujuan memasukkan telur adalah untuk menyatukan isian tadi. Jika mahu, boleh gunakan isi udang atau ikan selain daripada isi ayam. Anda juga boleh buat kombinasi udang dan ayam. Rasa siew mai tentu berbeza dan sedap.

Sekiranya mahu menggunakan daging pula, pastikan daging sudah direbus sehingga masak. Ini adalah kerana daging sukar empuk jika dikukus sebentar. Daging yang sudah dimasak perlu dihiris halus kemudian bolehlah dicampurkan dengan isi ayam atau udang yang belum dimasak.

Bagi yang inginkan kelainan, bolehlah hias dengan telur udang atau telur ikan. Ini akan membuat ia lebih menarik di samping menambah kesedapannya. Paling penting, kukus dengan api sederhana untuk memastikan isi ayam atau udang yang digunakan masak dengan sempurna.

SIEW MAI
30-32 keping kulit wantan (bulat)
2 tangkai daun bawang
1 biji cili merah

Bahan Lauk
250 g isi ayam kisar
4 keping cendawan kering, direndam lembut
125 g rebung segar
6 biji sengkuang Cina
½ biji lobak merah

Bahan perisa
1 biji telur, dipukul
½ camt minyak bijan
1½ camb tepung jagung
1 camt sos plam
Garam, gula, serbuk lada sulah secukupnya

Cara membuatnya
1. Hiris halus cendawan, rebung, timun dan lobak merah.
2. Satukan bahan perisa (kecuali telur) dalam mangkuk besar.
3. Gaul bahan cincang dengan bahan perisa.
4. Masukkan sedikit demi sedikit telur hingga sebati.
5. Sudukan lauk ke tengah kulit wantan. Basahkan sekeliling kulit wantan.
6. Tangkupkan seperti bentuk cawan. Tekan supaya lauk mampat.
7. Atur atas loyang berlengser minyak.
8. Kukus dengan api sederhana selama 8-10 minit.
9. Hias dengan daun bawang dan cili merah.

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez