Saturday, November 8, 2008

Bone Steak

Kali ini saya ingin memperkenalkan satu resepi lama yang mungkin menjadi nostalgia bagi kebanyakan penggemar tulang sum-sum. Suatu ketika dulu masakan ini memang disediakan dengan tulang lembu atau kambing. Bila hendak menikmatinya, anda perlukan sudu kecil berbatang panjang untuk mengeluarkan sum-sum tersebut. Enaknya memang tidak terkata terutama bila dicicah dengan roti.

Bone Steak yang mungkin membawa maksud ‘kepingan daging pejal’ atau steak dan bone pula bererti tulang. Kesimpulannya, ‘Stik Tulang’ tidak mencerminkan namanya langsung. Ia sebenarnya sejenis masakan yang menggunakan puri tomato. Jadi, kini anda tidak perlu menggunakan puri tomato semata-mata untuk membuat Nasi Tomato!

Masakan ini juga satu cara untuk menggunakan daging bertulang selain daripada dibuat sup. Tentu anda jemu kerana selama ini memikirkan bahawa daging bertulang hanya boleh dibuat air rebusan untuk mi sup dan mi rebus! Bahagian rusuk memang sedap kerana ia juga tidak terlalu besar. Ia juga sesuai untuk hidangan keluarga yang sederhana besarnya.

Pertama, anda mesti merebusnya hingga empuk. Pastikan ia mendidih kemudian perlahankan api. Periuk perlu ditutup walaupun tidak rapat. Renihkan selama 1 hingga 2 jam atau hingga empuk. Pastikan ditambah dengan air mendidih jika air rebusan mulai berkurangan. Sebagai panduan asas sebelum merebus, masukkan air sama paras dengan daging bertulang. Antara petua untuk mempercepatkan daging empuk adalah merebusnya bersama sebilah sudu. Pelik tapi benar!

Jika hendak mengurangkan lemak, biarkan ia selama semalaman di dalam peti sejuk. Keesokan harinya, buangkan lapisan lemak yang membeku di atasnya. Kemudian panaskan air rebusan tadi sebelum digunakan. Anda juga boleh menapisnya supaya tiada cebisan tulang di dalamnya.

Jika anda mempunyai pressure cooker atau periuk tekanan, tugas merebus menjadi lebih mudah dan cepat. Untuk menjimatkan masa (bagi anda yang bekerja), lakukan tugas merebus pada hujung minggu. Kemudian simpan di dalam bekas bertutup yang diletakkan di dalam peti sejuk.

Salah satu lagi cara menjimatkan masa adalah menggunakan slow cooker. Ia adalah kaedah memasak menggunakan periuk elektrik berkuasa rendah. Anda hanya perlu masukkan daging bertulang ke dalam periuk tersebut, diikuti bawang, jintan, puri tomato dan lapisan di atas sekali, keledek. Tuangkan air dan petik suis. Biarkan ia selama 8 jam. Bila pulang dari kerja, lauk anda sudah tersedia!

Sajian ini selalunya disediakan bersama ubi kentang tetapi anda boleh juga membuatnya dengan ubi keledek. Apa yang nyata, keledek lebih manis daripada kentang. Pilih keledek jingga kerana ia lebih empuk dan harum. Selain dari itu, keledek jingga juga mengandungi beta karotin.

Jika suka, anda boleh juga memasukkan lobak merah. Pastikan air rebusan ditambah supaya kuahnya mencukupi untuk mengempukkan lobak merah itu. Jika sukakan aroma herba masakan Italy seperti oregano, thyme atau basil, anda juga boleh membubuhnya. Jika sukar untuk mendapatkan herba segar, gunakan yang kering. Ia ada dijual di dalam botol kecil. Sebagai panduan, gunakan separuh sukatan untuk herba kering bagi menggantikan herba segar. Contohnya, 1 camca besar parsli cincang sama dengan ½ camca besar parsli kering.

Salah satu petua penting bila menggunakan puri tomato: Jangan lupa masukkan gula pasir kerana sifat puri itu yang agak masam atau berasid. Untuk menambahkan kesedapan, anda boleh campurkan isi tomato yang dikisar dengan air rebusan daging tadi. Buat potongan ‘X’ pada bahagian bawah tomato. Kemudian masukkan ke dalam air mendidih. Bila kulit tomato tanggal sedikit, letak di dalam air sejuk. Selepas itu, bolehlah dikupas dan buangkan empulurnya baru dikisar.

Apa yang istimewanya tentang hidangan Bone Steak ini? Sebaik saja keledek atau kentang empuk, anda perlu melecekkan separuh darinya. Tidak perlu dikeluarkan dari kuahnya terlebih dulu. Boleh dilecek terus di dalam periuk tetapi pastikan apinya diperlahankan. Dengan cara ini, kuahnya menjadi pekat dan sungguh enak bila dicicah. Selain dihidangkan dengan roti, capati, ban atau sebagainya, anda boleh juga menyajikan dengan mee atau spaghetti.

BONE STEAK
500 gm daging bertulang (rusuk)
Air untuk merebus
3 camca besar minyak
2 cm halia, dihiris halus
1 labu bawang besar, dikiub
1 batang serai, dititik
2 camca besar puri tomato
1 camca besar serbuk jintan putih
200 gm keledek, dikiub 2 cm
1 biji tomato, dikiub 2 cm
Garam, gula secukup rasa

Cara membuatnya
1. Rebus daging bertulang hingga empuk. Sukat air rebusan sebanyak 500 ml.
2. Panaskan minyak, tumis halia, bawang besar dan serai hingga wangi.
3. Masukkan puri tomato dan serbuk jintan. Kacau 1 minit.
4. Bubuh keledek, air rebusan, daging bertulang, garam dan gula.
5. Kacau sekali-sekala hingga keledek empuk. Lecek separuh keledek di dalam kuahnya.
6. Akhir sekali, masukkan tomato kemudian angkat.

1 comment:

Anonymous said...

What's Going down i'm new to this, I stumbled upon this I've found It positively helpful and it has aided me out loads. I am hoping to contribute & aid other users like its aided me. Great job.http://auraclassic.com/link/8556

http://www.thebennettnews.com/link/7477

My web site - custom jersey shirt

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez