Saturday, November 8, 2008

Strawberi Dwicoklat

Tiada yang lebih romantik daripada menikmati semangkuk strawberi bersalut coklat yang dihidangkan di atas meja yang diterangi cahaya lilin. Strawberi melambangkan buah yang mewah dengan warna merahnya yang menawan. Sementara coklat adalah hidangan aprodisiac yang, antara lain nikmatnya, mampu melahirkan rasa bahagia.

Tidak semua buah strawberi manis. Jadi, bila menyalutnya dengan coklat, dengan sendirinya ia menjadi manis dan lemak. Strawberi yang segar mempunyai daun yang masih hijau. Supaya hidangan nampak menarik, tidak perlu membuang daunnya. Jika ada bahagian daun yang sudah layu, guntingkan bahagian itu.

Selalunya, strawberi yang segar dan baru dipetik berwarna merah cerah. Baunya juga harum. Jika memegangnya dengan hujung jari, isinya tidak mudah pecah. Strawberi yang tidak segar sesuai dibuat jem atau pai. Kebanyakan strawberi yang dijual di pasaraya kita berasal dari Cameron Highlands. Jika membeli banyak, pastikan anda meletakkannya di dalam bekas sejuk berisi ais. Strawberi mudah menjadi masam di dalam cuaca panas.

Strawberi yang diimport lebih mahal harganya tetapi lebih manis dan lebih besar. Ada kalanya ia juga bergantung kepada musim. Kini sudah ada strawberi yang diimport dari negara Arab dan harganya jauh lebih murah daripada strawberi dari Australia atau negara Eropah yang lain.

Untuk menyalut strawberi dengan coklat, memadai mengelap strawberi dengan kain lembab. Kemudian lap sekali lagi dengan kertas dapur atau kitchen towel. Jangan sekali-kali mencuci dengan air. Selain merosakkan buah itu, air juga memberi kesan kepada coklat cair.

Perkara pertama yang mesti anda fahami adalah cara mencairkan coklat. Coklat boleh dicairkan di dalam ketuhar gelombang mikro. Walaupun ia sudah cair, bentuknya akan kekal seperti asal. Kacau sebaik saja dikeluarkan. Memang mudah.

Satu cara lain dipanggil baine marie. Kaedah ini yang juga dikenali dengan nama double-boiler. Ia melibatkan air mendidih di dalam periuk dan mangkuk tahan panas di atasnya. Dasar mangkuk jangan sekali-kali mencecah air mendidih itu. Api pula hendaklah perlahan saja supaya wap air tidak terlalu banyak. Jika wap air jatuh ke dalam coklat, ia akan mengeras.

Coklat putih lebih rumit untuk dicairkan dibandingkan dengan coklat masakan (biasa). Pastikan air mendidih paling perlahan (api paling kecil) kerana suhu kecairan coklat putih jauh lebih rendah daripada coklat masakan. Jika anda menghiris coklat kecil-kecil, proses mencairkannya tidak akan memakan masa yang lama.

Pastikan mangkuk dan sudu kering. Sebaik saja coklat cair, tuangkan ke dalam mangkuk yang lebih kecil. Ini memudahkan anda untuk menyalut strawberi kerana anda boleh memusingkan mangkuk ke kiri dan ke kanan untuk mendapatkan salutan terbaik.

Sebaik saja menyalut lapisan pertama, susun strawberi di atas kertas silikon. Buat hingga habis strawberi kemudian ulangi menyalut lapisan kedua. Mulakan dari strawberi yang pertama kerana lapisannya sudah mulai keras atau set. Setelah lapisan kedua, biar seketika barulah disalut pula dengan coklat putih. Ikut aturan menyusun supaya tidak bercelaru.

Petua paling penting adalah memastikan strawberi sejuk sebelum disalut. Ini akan memudahkan coklat keras. Ini bermakna, anda perlu keluarkan strawberi dari peti sejuk sejurus sebelum menyalutnya dengan coklat.

Jika sukar mendapatkan kertas silikon, boleh gunakan butterpaper. Ini adalah supaya coklat mengeras dengan sempurna. Jangan gunakan pinggan atau kertas biasa. Jika coklat melekat, salutan akan nampak tidak kemas. Sekiranya anda hendak menyimpan strawberi bersalut coklat di dalam peti sejuk, alas bekas dengan kertas dapur. Susun rapat tetapi jangan menyentuh satu sama lain. Tidak usah tindankan kerana salutan mungkin menjadi comot.

Strawberi DwiCoklat
25 biji strawberi
200 gm coklat masakan
200 gm coklat putih
2 camca besar lemak sayuran

Cara membuatnya
1. Sediakan air mendidih perlahan.
2. Hiris coklat masakan dan masukkan ke dalam mangkuk tahan panas.
3. Tambah 1 camca besar lemak sayuran.
4. Kacau sekali-sekala hingga coklat cair. Pegang strawberi secara mengiring.
5. Celup sebahagiannya di dalam coklat. Letak atas kertas silikon.
6. Biar keras sedikit kemudian salut satu lapisan lagi coklat. Biar keras.
7. Ulangi kaedah sama untuk coklat putih dan baki lemak sayuran. Buat sebanyak dua lapis.
8. Bila keras bolehlah dihidangkan atau disimpan di dalam bekas bertutup yang diletak di dalam peti sejuk.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez