Sajian ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Selain popular sebagai bekalan ke sekolah atau tempat kerja, ia juga mudah dan tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Ada pelbagai jenis mee goreng. Contohnya, Mee Goreng Mamak, Mee Hokkien, Mee Goreng Basah dan sebagainya. Mee Goreng tidak akan lengkap tanpa udang sebagaimana Kuay Teow Goreng tidak akan sempurna tanpa kerang. Pilih udang yang segar supaya kemanisannya membuat mee lebih sedap. Untuk mengembalikan kesegaran udang, kupas kulit, basuh bersih dan sejatkan. Kemudian gaul dengan sedikit gula dan simpan dalam bekas bertutup yang diletak di dalam peti sejuk rak bawah. Selain udang, anda ada pilihan samada untuk memasukkan kek ikan atau bebola ikan. Hiris nipis-nipis dan masukkan bersama batang sawi. Gaul sebati supaya ia masak sempurna. Jangan campurkan pada saat akhir menggoreng kerana bebola ikan yang tidak cukup masak boleh menyebabkan keracunan makanan. Sawi hendaklah diasingkan batang dan daunnya. Ketuk bahagian batang dengan hujung pisau supaya ia mudah empuk.
Semasa menumis, pastikan api sederhana supaya udang dan semua bahan lain boleh masak elok. Setelah memasukkan mee, barulah kuatkan api dan kacau secepat mungkin. Ini penting supaya mee masak dengan cepat dan taugeh tidak terlalu masak. Taugeh mudah berair jadi tidak perlu memasukkannya awal-awal. Lagipun, taugeh yang separuh masak akan memberikan kerangupan pada Mee Goreng. Taugeh juga memberikan kelembapan kepada mee. Pastikan ia segar kerana taugeh yang layu merosakkan rasa mee goreng. Taugeh yang terlebih masak akan menjadikan mee goreng terlebih ‘basah’. Jangan lupa buangkan ekor dan baki kulit kacang hijau. Ini penting supaya hidangan nampak cantik dan menyelerakan.
Jika anda tidak mahu menggunakan mee kuning yang segar, boleh gunakan mee siput. Kaedah menggoreng dan bahannya sama. Cuma anda perlu menjerang air yang banyak, tambah garam kemudian baru masukkan mee siput. Kacau selalu. Bila mee siput nampak kembang, barulah disejatkan (tos) supaya betul-betul kering. Tidak perlu mencelur mee untuk digoreng. Memadai membilasnya di bawah air paip dan letak di dalam penyejat.
Pasta (jenis Spaghetti atau Angel Hair) juga boleh digunakan sebagai pengganti mee kuning. Ramai orang telah cuba membuat mee sendiri di rumah. Caranya adalah dengan mencampurkan air alkali (khas untuk membuat mee, boleh dibeli di kedai ubat Cina atau sinseh), pewarna kuning dan sedikit air ke dalam tepung gandum. Uli menjadi doh dan gunakan penggelek pasta untuk mencanai. Gelek akhir adalah dengan pemotong sekali. Celur dalam air mendidih hingga timbul kemudian angkat, sejatkan dan gaul dengan sedikit minyak. Mee Goreng dan Mihun Goreng tidak akan sempurna tanpa ‘Sos Empat Sekawan’ iaitu sos tomato, sos cili, sos tiram dan kicap. Gunakan kicap manis kerana kicap cair akan membuat mee lebih masin. Jikalau inginkan warna yang lebih gelap, masukkan sedikit kicap pekat atau kicap hitam.
Seandainya anda tidak sukakan udang, gantikan dengan telur. Masa memasukkan telur adalah di akhir waktu menggoreng. Bila taugeh separuh layu, ketepikan semua mee ke tepi kuali. Masukkan telur (2 biji untuk 1 paket mee) di tengah-tengahnya. Pastikan api kuat dan kacau telur hingga separuh masak barulah digaul dengan semua campuran mee tadi. Kemudian terus angkat dan hidangkan. Telur akan masak sempurna dengan kepanasan mee tadi. Untuk lebih enak, taburkan daun bawang atau daun sup ke atas mee goreng sebelum dihidangkan. Anda juga boleh taburkan bawang goreng supaya mee lebih harum dan rangup.
Sementara itu, hirisan cili merah boleh dicampurkan dengan sedikit cuka dan gula bagi memberikan sedikit rasa masam. Selain itu, cili jeruk juga merupakan bahan sampingan yang sungguh menyelerakan. Bagi yang sukakan lebih pedas, boleh gaulkan sos cili sebelum dimakan. Mee goreng hendaklah dihidangkan panas-panas supaya lebih sedap. Jika hendak dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro, pastikan bahagian atas mangkuk ditutup dengan plastik khas sebelum dipanaskan. Ini untuk memastikan anda dapat menikmati aroma mee goreng di meja makan (bila anda membuka plastiknya)!
MEE GORENG
60 ml minyak
4 ulas bawang merah } ditumbuk
3 ulas bawang putih }
1 sudu besar pes cili
300 gm udang sedang - buang kulit
200 gm sawi – dipotong 3 cm
1 paket bebola ikan – dibelah 2
500 gm mee kuning
150 gm taugeh - dibuang ekor
Daun bawang, cili merah (hiasan)
Gula secukupnya
Bahan A (campur):
2 sudu kecil kicap manis 1½ sudu besar sos tomato 2½ sudu besar sos tiram 2 sudu besar sos cili
Cara membuat
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk dan pes cili hingga terbit bau.
2. Bubuh bahan A, gula dan udang, kacau rata.
3. Masukkan batang sawi dan bebola ikan, kacau hingga udang separuh masak.
4. Campurkan daun sawi, gaul hingga separuh layu.
5. Akhir sekali, masukkan mee dan taugeh.
6. Bila taugeh hampir layu, angkat. Taburkan daun bawang dan cili merah.
Saturday, November 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Tingin nak makan mee... So masak sendiri laaa.... Resipi nie mmg berguna
Casinos Near Bryson City Casino & Hotel
A map showing 춘천 출장안마 casinos and 영주 출장샵 other gaming facilities 청주 출장샵 located near Bryson City Casino & Hotel, located in Bryson City, in real-time 광주 출장안마 at the 부천 출장마사지 location
Post a Comment