Saturday, November 8, 2008

Kepak Panggang


Hidangan ‘barbeque’ atau istilah ringkasnya BBQ sangat popular. Tentu akan terbayang unggun api di halaman rumah atau di tepi pantai dan aroma makanan yang enak, dipanggang atas bara yang merah menyala.


Di mana-mana keramaian pun, hidangan barbeque memang menjadi tarikan utama kepada tetamu. Sukar membuat campuran perap? Itu bukan alasan kerana ia lebih mudah daripada yang anda sangkakan. Jadi, apa lagi yang anda tunggu? Cubalah resepi ringkas tapi terbukti lazat ini!

Selain sesuai diratah begitu saja atau dicicah dengan sos, kepak panggang sedap dimakan dengan nasi ayam atau nasi tomato. Apa yang menariknya, selain daripada untuk kepak, campuran bahan perap itu juga sesuai untuk udang, ikan, sotong, daging dan sebagainya.

Anda hanya perlukan beberapa sos asas yang selalu ada di dapur. Jika tiada sos nanas bercili (yang dijual di dalam botol seperti sos tomato), anda boleh menggantikannya dengan sos plam. Madu di dalam sos ini membuat kepak lebih berkilat setelah dimasak. Selain itu, ia juga mampu mengempukkan makanan.

Sos cili Thai juga boleh digantikan dengan sos cili bawang putih atau sos cili biasa. Jika tiada, boleh gunakan sos tomato. Namun begitu, ini akan membuat bahan perap agak masam. Boleh ditambah secubit gula pasir untuk mengimbangi rasa masam itu.

Sos barbeku di dalam botol agak ‘kuat’ rasanya dan mungkin tidak berapa sesuai dengan kebanyakan selera kita. Oleh itu, saya mencampurkannya dengan pelbagai sos lain. Seandainya tiada sos barbeku, anda boleh gantikan dengan sos Lea & Perrins (L&P). Sos L&P adalah sos Worcestershire dan ada campuran cuka yang boleh mengempukkan bahan makanan yang diperap juga.

Bagi yang sukakan pedas, tambah pes cili atau cili boh. Manakala yang sukakan agak masam, perahkan sedikit jus limau nipis atau tambah air asam jawa yang agak pekat. Anda juga boleh memerap sekali bawang besar (potong baji atau ‘wedges’), hirisan cili Benggala merah, hijau atau kuning dan tomato ceri.

Setelah itu, cucuk pada besi pemanggang berselangseli dengan kepak. Pastikan lengser besi sebelum itu. Ini untuk mengelak ayam melekat. Jika menggunakan lidi, rendam di dalam air biasa selama 6 jam. Ini akan menghalang ia daripada hangus. Bagi ‘meneguhkan’, cucuk bersama dua batang lidi bagi dua keping kepak ayam. Ini juga akan memudahkan anda membalikkan kepak tadi.

Sotong juga boleh dipanggang tetapi berhati-hati kerana selalunya ia akan ‘meletup’. Panggang udang dengan kulitnya tetapi pastikan anda buangkan uratnya. Caranya adalah menggunting kulit dari bahagian belakang kepala udang terus ke pertengahan badannya. Kemudian gunakan hujung pisau untuk menarik keluar uratnya.

Baki bahan perap mesti direnjiskan pada kepak ayam semasa ia dipanggang. Ini adalah untuk memastikan kepak itu lembab dan berjus. Bahan perap akan memberi perisa yang lebih. Caranya adalah menyudukan terus ke atas kepak setelah 6-7 minit dibakar. Panggang lagi 5 minit, terbalikkan dan sudukan bahan perap untuk sebelah lagi.

Panggang semula selama 6-7 minit. Kemudian sudukan baki bahan perap sekali lagi sebelum dipanggang semula. Untuk mengelakkan keracunan makanan, pastikan renjisan terakhir bahan perap dibiar betul-betul masak selama 10 minit sebelum makanan itu diketepikan dari api. Jika tidak, bakteria yang mungkin ada di dalam bahan perap boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit.

Bagi yang gemar mencicah dengan bahan sos selain daripada sos cili, mayonis dan Thousand Island dressing, anda boleh membuat satu bancuhan lagi bahan perap. Campurkan dengan 1 cawan air dan 1 camca besar (rata) tepung jagung. Kacau atas api perlahan hingga pekat dan mendidih. Hidangkan dengan kepak panggang.

Jika anda ingin memerap lebih daripada 4 jam, pastikan anda letak bekas bertutup itu di dalam peti sejuk (rak bawah). Ia boleh juga diperap semalaman untuk dipanggang keesokan harinya. Jika ingin dibawa jauh untuk tujuan berkelah, bubuh kepak dengan bahan perap di dalam dua lapisan plastik. Kemudian ikat kemas. Letak plastik di dalam bekas tahan panas atau sejuk yang diisi dengan ais.

KEPAK PANGGANG
8 keping kepak ayam
2 camca besar sos nanas bercili
1½ camca besar sos cili Thai
1 camca besar madu
1 camca besar sos barbeku
1 camca besar sos tiram
1 camca teh kicap manis
1 camca teh kicap cair

Cara membuatnya
1. Selitkan hujung kepak ayam ke belakang bahagian isinya.
2. Satukan semua bahan perap di dalam bekas besar.
3. Gaul rata-rata dengan kepak. Perap selama 2 jam.
4. Cucuk dengan besi pemanggang.
5. Panggang atas bara atau gril di dalam ketuhar.
6. Renjiskan baki bahan perap ke atas kepak semasa memasaknya.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez